18 June 2012

The concept behind the comic: HIkayat Tinju Khairy

Ramai kawan saya fikir saya membuat kerja tak berfaedah dengan melukis komik. Pandangan itu ada yang betulnya, tapi bukan pada saya, waima pelukis komik lain yang jujur berkarya dengan nilai-nilai yang baik. Contohnya MFR, yang memulakan inisiatif mengumpulkan banyak-banyak tajuk komik dalam satu laman sesawang. Sampai hasil kerja saya pun dimasukkannya. Terima kasih,ya. Untuk tengok komik saya dan komik orang lain, boleh klik sini http://komikdakwah.blogspot.com/

Baik, kembali pada bicara awal tadi. Kerja berkomik memang tidak berfaedah jika anda tidak ada mesej untuk disampaikan pada pembaca di luar sana. Sekarang ini pun, berapa ramai remaja yang berbakat melukis sesuatu yang tidak ada kaitan dengan mereka. Mereka melukis watak yang namanya Jepun, namun tinggal di Malaysia, anehnya pergi ke sekolah dengan skirt pendek, lepas itu ada pula pokok sakura di persekitaran. Tanda keliru hala tuju membuat komik agaknya. Rasanya, saya pun pernah melalui era itu...dan melepasi transisi ke arah hala tuju berkomik.


Sekarang tidak lagi...Sebagaimana penulis buku melakukan banyak rujukan sebelum mula menulis buku, aplikasi yang sama juga dipakai pada orang yang mahu menjadikan komiknya ada hala tuju. Dan ini yang saya hendak ceritakan serba sedikit tentang komik saya yang terbaru ini...HIKAYAT TINJU KHAIRY

Jika anda rasakan saya hanya buat komik lawan-lawan sahaja, anda silap.

Jika anda rasakan saya lukis komik pasal hero yang suka bertumbuk, anda silap.

Ada asasnya saya hasilkan komik begini....yang tercetus dari satu dogma yang dinamakan inkuiri. Jika hendak tahu tentang Inkuiri, bolehlah rujuk kepada sejarah Renaissance yang mengeluarkan Eropah daripada zaman Kegelapannya. Inkuiri yang saya maksudkan ialah, sekiranya dalam Hikayat Tamadun Melayu ada dicatatkan kisah Laksamana Cheng Ho bertandang ke Melaka, mengapa pula tidak pada orang Melayu pernah menjejakkan kaki ke Tanah Besar China? Ya, mengapa tidak?

Dan sudah tentulah saya mahu menguatkan lagi dengan nilai agama Islam. Sekiranya anda mahu tahu tentang sejarah Islam di China, para pembaca carilah buku tulisan Ann Wan Sen terbitan PTS. Saya baca buku ini, dan tulisan ini cukup memberi maklumat kepada rahsia Islam di negara tembok besar itu. Dan tidaklah dialog Dao Lon dalam komik itu saya buat main-main. Memang orang Cina mengatakan orang Muslimin di sana menyembah langit, padahal tidak.

Orang Islam sebenarnya menyembah Yang Maha Pencipta Alam Semesta, dan langit adalah di bawah kekuasaanNYA.

Orang Islam makan daging yang disembelih.

Orang Islam tidak makan babi, dan mereka tidak pula minum arak.

 Dan bagaimana pula dengan orang Melayu di Tanah Besar China? Pernah wujud ke? Ingat lagi teori sejarah yang mengatakan orang Melayu ini juga pendatang dari daerah Yunnan, China? Dan teori ini diperbesarkan lagi oleh puak ultra kiasu DAP dan yang sewaktu dengannya.

Kawan-kawan, anda silap sama sekali, bahkan dua tiga kali. Bangsa Melayu ini bukanlah pendatang, datang dari mana-mana. Tempat asal kita memang di sini. Lihatlah bukti arkeologi "Perak Man" di Lenggong. Jauh lebih lama, dan itu rasanya sudah boleh menolak teori "Melayu itu pendatang"....dari Yunnan.

Namun saya tidak menafikan, bahawa ada orang Melayu pernah berada di Yunnan. Jejak mereka ada di sana, tapi asal mereka bukan dari Yunnan. Ingat, Melayu itu mahir belayar. Jejak mereka ada di mana-mana, bahkan sehingga Madgascar dan Hawaii pun sudah. Jadi memang berasas cerita komik saya sekali pun ianya fiksyen.

Jadi bagaimana pula orang Melayu boleh menyibuk dalam "sektor" keperwiraan dan kepahlawanan? Aha, itu yang sangat hebat sekali. Rasanya saya tidak boleh bercakap kosong sahaja, dan ini saya mahu tunjukkan pautan kepada nota sejarahwan dalam hal ini. Klik Melayu Nusantara ini untuk tahu tentang hikayat pendekar Melayu pada era Dinasti Tang. Jadi, hebatlah si Khairy itu bergasak dengan pahlawan Cina, kan?

Meski pun fiksyen sejarah, saya tidak tahu pula ianya komik dakwah. Ia seperti belajar sirah, tapi kali ini kita belajar sejarah Melayu Islam di tanah asing. Dan suka saya mengingatkan, bahawa kerajaan Melayu Melaka dahulu amatlah rapat hubungan mereka dengan kerajaan China. Jika tidak, masakan Maharaja China memberikan layanan "grand VIP" kepada kedatangan rombongan kerajaan Melaka, walhal Maharaja menganggap orang Barat ketika itu seperti tidak bertamadun. Dan tidak perlulah Puteri Hang Li Po dikahwinkan dengan Sultan Mansur Syah.

Akhirul kalam, saya banyak dapat ilmu penting daripada sejarah. Jika tahu sejarah bangsa sendiri, anda tidak perlu takut atau malu bahkan jauh sekali untuk rendah diri terhadap bangsa lain. Dan komik ini akan ada sambungannya.

Setakat ini, komik ini dapat sambutan yang menggalakkan. Alhamdulillah, patut buat buku sahaja untuk jual. Namun itu cerita lain hari, untuk hikayat Khairy ini, biarlah kisah perjuangannya ditayangkan dengan percuma. Jalan cerita yang bergerak terlalu laju, saya akan seimbangkan. Komik yang mantap, saya akan mantapkan lagi dalam sambungannya. InsyaAllah.

No comments: