8 sebab mengapa RUU Harmoni harus diwaspadai kandungannya
Oleh Azril Mohd Amin
Akta
Hasutan 1948 [Akta no. 15] mempunyai latarbelakang sejarah dan alasan
penggubalan yang signifikan di dalam usaha membina perpaduan dan
keharmonian Negara. Undang-undang tersebut telah melindungi asas-asas
Negara khususnya Perkara 153, Perkara 152, Perkara 181 dan Bahagian
Ketiga Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipersoalkan sama
sekali termasuk oleh ahli-ahli Parlimen. Pada waktu akta tersebut
digubal, kesemua kaum di Negara ini telah bersepakat mengenai
kepentingan kewujudannya. Perkara-perkara yang dilindungi Akta tersebut
juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.
Susulan
pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy Shukri pada 30
Mei 2014 berkenaan hasrat kerajaan memperkenalkan akta baharu yang akan
menggantikan Akta Hasutan 1948 tiga deraf rang undang-undang berkaitan
iaitu Rang Undang-undang Harmoni Nasional (National Harmony Bill), Rang
Undang-undang Perpaduan Nasional (National Unity Bill) dan Rang
undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional (National
Unity and Integration Commission Bill) (selepas ini dirujuk sebagai RUU)
telah dikemukakan dan kini sedang dikaji Pejabat Peguam Negara.
Selepas
artikel ini ditulis, nama-nama RUU tersebut telah dipinda dan sekarang
dikenali sebagai RUU Jenayah kebencian (Hate Crime) Kaum dan Agama, RUU
Harmoni dan Rekonsiliasi dan RUU Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi.
Pada
hakikatnya, wujud beberapa asas kukuh yang menjadi sebab kebimbangan
masyarakat Malaysia, khususnya umat Melayu-Islam, tentang beberapa aspek
yang dicadangkan, sama ada dari sudut pemansuhan Akta Hasutan 1948,
kandungan deraf RUU tersebut serta tujuan dan fungsi “Unfair
Discrimination Tribunal” yang dinyatakan di dalam salah satu deraf RUU
tersebut.
Berdasarkan
pengamatan awal penulis, berikut digariskan secara ringkas 8 sebab
mengapa RUU Harmoni tersebut perlu diwaspadai kandungannya dan tidak
patut diterima sewenang-wenangnya:
PERTAMA
Hakikat
bahawa penggubalan RUU yang sangat penting tidak dibincangkan dengan
teliti dan dirujuk kepada pihak-pihak berkepentingan terlebih dahulu
menimbulkan pertanyaan serius tentang motifnya. RUU tersebut melibatkan
isu-isu berkaitan agama, perpaduan antara kaum dan sebagainya, namun
demikian tidak disembahmaklum terlebih dahulu kepada Majlis Raja-raja.
Deraf tersebut juga tidak dirujuk kepada Majlis-majlis Agama Islam
Negeri dan tidak dibincangkan bersama Jawatankuasa Mempromosi
Persefahaman dan Keharmonian Di antara Penganut Agama (JMPKPA) dan
lain-lain badan berkepentingan. Sebaliknya, badan-badan yang kurang
kredibiliti seperti Proham dan Global Movement of Moderates dibiarkan
memonopoli perbincangan isi kandungan deraf RUU tersebut.
Malah,
RUU tersebut yang disediakan Majlis Peguam, sebagai sebuah badan
sekular, telah diserahkan terus kepada YB Nancy, lantas mengenepikan
khususnya institusi-institusi keagamaan yang bakal terjejas secara
langsung oleh penguatkuasaannya kelak. Ini jelas merupakan langkah
provokasi yang boleh mencetuskan keresahan serta kebimbangan ramai
pihak.
KEDUA
RUU
tersebut mengenepikan kedudukan Islam sebagai Agama Negara menurut
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Agama Negeri yang
telah termaktub di Negeri-negeri sejak berabad. Kedudukan ini tidak
pernah diganggu-gugat oleh British dan Kerajaan Persekutuan. Selain
Perkara 3(1), Agama Islam telah dimartabatkan sebagai Agama Negara
dengan diberikan berbagai kedudukan terhormat dan perlindungan
Perlembagaan seperti Perkara 11(4), 12(2), 37(1), 74(2) Jadual
Kesembilan, 121(1A) dan Perkara 150(6A). Hatta sebelum pengiktirafan
seumpama ini dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan
agama Islam telah terlebih dahulu diperundangkan di dalam Perlembagaan
negeri-negeri, sebagai contoh peruntukan di dalam Perlembagaan Negeri
Johor 1865 dan Perlembagaan Negeri Terengganu 1911.