05 November 2012

Perspektif Islam dan Budaya Barat pada Keremajaan


Walaupun sudah tahu bahawa kecantikan fizikal hanyalah satu aspek daripada diri kita, namun itulah yang selalu dicanang dengan melampau-lampau, dalam media; bahawa itu sahajalah fokus kita dan cara kita menilai diri dan orang lain. Dan inilah yang menggerakkan industri fasyen dan kecantikan menjadi bidang perniagaan yang untung berjuta-juta, melalui iklan kecantikan dapat dimiliki apabila kita membelinya.




Acap kali, imej yang dipaparkan industri, yang dipaksakan ke atas golongan wanita, adalah imej yang tiada cacat cela dan kekal muda. Sebarang tanda penuaan dikira sebagai kehodohan. Rambut beruban dan kedut adalah pantang sama sekali. Banyak alat kosmetik kini dijadikan fungsinya bukan sekadar meningkatkan tahap keanggunan, bahkan mengubah kejadian, seperti menidakkan usia (age-defying). Menjadik golongan wanita sasaran lebih ideal, muda remaja yang melambangkan kesempurnaan.


Apakah kesan tunduk kepada penuaan? Dan apa maknanya untuk hidup di dalam komuniti yang mana puncak kecantikan ialah selamanya kelihatan remaja?

MASALAH DENGAN STANDARD YANG IDEAL


Memang benar ada lelaki dan perempuan berwajah elok pada usia remaja dan dua puluhan, namun meletakkan imej begitu sebagai satu-satunya piawaian pada kecantikan, ia membawa banyak masalah. Standard yang begitu sempit ini tidak dapat menerangkan cara Allah yang pelbagai dalam mewujudkan kecantikan dalam diri manusia. Standard ini juga memaksa kita untuk menerima bahawa tanda kita tua adalah satu kehodohan. Kiranya tua adalah hodoh. Inilah yang membuatkan ramai di tahap 30-an, 40-an, 50-an dan 60-an terdesak untuk sentiasa nampak muda, berbanding menerima penuaan sebagai satu tanda manusia sudah stabil dan matang.

SKOP KECANTIKAN YANG LEBIH LUAS


Kita harus memikirkan bahawa imej kecantikan yang menyeluruh ada dalam ajaran Rasulullah. Allah telah menciptakan bentuk yang pelbagai, dan mengulang contoh keindahan ciptaanNYA dalam bentuk kepelbagaian dan diversiti:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNYA ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi golongan yang mengetahui. (Surah Ar-Rum: ayat 22)

Contoh terbaik bagi bukti ini terdapat pada Ummuhatul Mukminin (Ibu Golongan Beriman) yang setiap mereka adalah wanita yang "ideal", namun berbeza satu sama lain, sama ada dari segi umur, perangai, latar belakang, dan paras rupa. Satu perkara yang perlu dimuhasabah ialah isteri pertama Nabi Muhammad ialah Siti Khadijah yang jauh lebih senior daripada baginda. 

MENGHARGAI TANDA USIA

Jadi, tidak perlulah kita takut dengan tanda penuaan, jadikanlah ia sebagai peringatan bahawa kita akan dijemput oleh Malaikat Maut. Peringatan untuk muhasabah diri dan peluang untuk berubah. Ada banyak cara untuk menghadapi realiti yakni maut, sebagai mana pesan Nabi: Banyakkan ingat pada maut, pemusnah nikmat, dan ziarahilah kubur, agar dapat mengingati kematian.

MENTAKRIFKAN KECANTIKAN

Keutamaan pada kecantikan dalam dan pengisian rohani perlu disegerakan. Sebagai mana kata penyair: Jangan jadi seperti Iblis yang hanya melihat Adam sebagai himpunan tanah dan air. Bermaksud kita hendaklah melihat dengan lebih dalam lagi dan secara tersirat.

SIKAP PADA USIA

Bukan sahaja kecantikan fizikal memerlukan kita nampak muda, bahkan industri juga menyogok kita dengan sikap yang kebudakan, penuh keremajaan. Yang mana tanggungjawab dan kematangan adalah hampir tiada sama sekali dalam imej yang dipromosi itu. Erti kata lain, kita bukan sahaja perlu kelihatan muda dan remaja, kita juga perlu berperangai seperti itu. Da atas sebab inilah kita selalu dapati lelaki dan perempuan kini tiada intelek, tiada kematangan, dan tiada tanggungjawab, bahkan tiada matlamat pula.

PENGAKHIRAN

Kita perlu memikirkan sama ada idea kecantikan itu cocok atau tidak dengan kita dari aspek intelek, psikologi, Islamik, dan spiritual. Sebagaimana yang disebut dalam tajuk ini, kita perlu membina semula idea yang kita pegang selama ini terhadap skop kecantikan, usia, dan subjek berkaitan. Moga Allah mengurniakan kita kefahaman, dan menemukan kita dengan kecantikan yang hakiki.

No comments: