28 June 2012

STINGINESS OF JEALOUSY (Terjemahan)

Selepas beberapa kali menelaah artikel di laman SuhaibWebb.com.
Saya terus merencanakan sesuatu yang kecil sahaja usahanya...membuat terjemahan bebas kepada artikel-artikel yang menarik. Di samping itu menambah baik kefahaman saya kepada Bahasa Inggeris dan memperelokkan gaya bahasa saya agar maksud asal artikel tidak tersasar jauh.

Sebelum anda (tidak semua) berfikiran negatif, tidaklah saya menterjemah tulisan ini kerana nak memandai-mandai tunjuk pandai. Ish, TIDAK. Bukan juga kerana yakin dan tsabit bahawa pengunjung blog ini tidak faham sepatah haram pun ayat-ayat English. Saya percaya semuanya pandai. Jika tidak pandai, pastinya blog ini penuh dengan komen yang sarat maki-hamun dan kata nista. Yang itu saya bersyukur, meski pun blog ini sepi dengan komen, yang bagusnya tiada komen mencarut di sini. Eh, kita di mana tadi?

Ya, ya...tujuan saya melakukan terjemahan. Untuk menambahkan bahan ilmu dalam Bahasa Melayu. Mudah bukan? Setakat yang saya tahu sewaktu di IPTA dahulu, tulisan akademik dalam Bahasa Melayu amat...amat sedikit. Bahkan ahli akademik pun sudah terlalu selesa menulis jurnal dalam Bahasa Inggeris. Jadi penggunaan Bahasa Melayu dalam penyampaian ilmu tidak berkembang...langsung.

Ah, cakap banyak pula. Jadi ini saya siapkan sebuah artikel terjemahan yang agak berguna. MARI KITA MULAKAN.


Dengki adalah satu emosi yang sukar untuk difahami. Namun setiap daripada kita – atau kebanyakan kita – menerima bahana dengki sepanjang masa. Sama ada dengki itu timbul secara tiba-tiba, atau ianya mungkin  satu perasaan yang terpendam kita kepada orang lain. Apa pun halnya, sanjungan besar Rasulullah s.a.w pernah memberikan amaran berkenaan dengki, dalam satu hadis riwayat Abu Daud, mafhumnya: Berwaspadalah kamu terhadap hasad dengki, sesungguhnya hasad itu menghilangkan kebaikan seperti api membakar daun kering. Maka, amatlah penting untuk kita mencari punca hasad untuk menyingkirkan perasaan jahat ini daripada jiwa kita.


Imam al-Ghazali, memberikan definisi hasad sebagai satu bentuk shuh, yang bermakna kedekut. Kedekut yang ini bukanlah dalam maksud yang biasa kita fahami. Perkataan biasa untuk kedekut dalam Bahasa Arab ialah  bakhil, yang merujuk kepada kedekut yang kita ketahui, tidak mahu memberi atau berkongsi sesuatu milik kita. Shuh pula, ialah kedekut dengan sesuatu yang kita tidak miliki, dalam erti kata lain; kita tidak mahu sesuatu perkara itu diterima oleh orang lain. Jika kita tidak dapat barang tersebut, maka orang lain pun tidak boleh mendapat barang itu. Kedekut yang ini sepuluh kali lebih rosak dan teruk daripada bakhil, kedekut yang biasa. Contohnya, orang yang kedekut tidak memberikan 10 ringgit untuk derma, atas logik orang itu rasa rugi 10 ringgit – shuh pula menggambarkan keadaan tidak mahu orang lain mendermakan 10 ringgit itu. Inilah penyakit dari segi kebendaan dan spiritual. 


Jadi apa kaitan shuh dengan hasad dengki? Nampak seperti dua sifat jahat yang berbeza, namun keduanya sangat berhubung rapat. Hasad, menurut Imam al-Ghazali, adalah kedekut dengan nikmat dan kurnia yang diberikan kepada orang lain, kedekut dengan benda yang kita tidak miliki. Pada peringkat ini kita akan membuat telahan, ”Tidak, aku tidak minta Allah hentikan pemberian nikmatNya kepada si polan, tetapi aku juga mahu Allah berikan nikmat yang sama kepada aku juga!”


 Ini adalah tindakan membohongi diri sendiri, jika Allah mahu menarik kembali nikmat tersebut daripada orang lain, kita akan dapati diri kita gembira, keangkuhan kembali semula, dan tiada lagi cemburu. Maka, orang yang tidak mendapat nikmat Tuhan, adalah lebih penting daripada kamu mendapat nikmat itu sendiri. Itulah pemikiran orang yang hasad. Bukankah itu maksudnya kamu kedekut dengan sifat pemurahnya Allah – dan yang lebih bahaya, membenci sifat pemurah Allah. Maka lebih baiklah kita istiqamah untuk beringat dan berusaha mencapai matlamat yang disetkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya: “Tidak beriman antara kamu sehingga kamu benar-benar menyayangi saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri.” (Hadis Muttafq-alaih).


Imam Muhammad ibnu Sireen pernah berkata: “Aku tidak pernah mencemburui orang lain atas apa-apa pun. Jika orang itu akan dihumban ke dalam Neraka, bagaimana pula aku cemburu dengan kelebihannya di dunia sedangkan dia akhirnya masuk ke dalam Api Neraka? Dan jika dia dimasukkan ke dalam syurga, bagaimana pula aku dengki dengan orang yang diredai oleh Allah?”


Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, Maka mereka Itulah orang-orang yang beruntung. (Surah At-Taghabun: ayat 16)

No comments: