23 November 2008

TEKAN pemimpim UMNO hapus RASUAH

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa orang Melayu memberi tekanan kepada pemimpin-pemimpin UMNO untuk menghapuskan rasuah yang telah menjadi budaya dalam parti itu sekarang.

Dr. Mahathir memberitahu, orang Melayu perlu menggunakan segala saluran yang ada dan tidak harus berhenti walaupun apa yang diluahkan tidak mendapat tempat di dalam media.

''Gerakan untuk menekan para pemimpin dan ahli-ahli UMNO untuk menolak mereka yang menggunakan wang bagi mendapat jawatan tinggi di dalam parti perlu dilakukan dari sekarang.
''Sekiranya tidak dilakukan, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, orang Melayu akan melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan ditolak pengundi kerana meletakkan para pemimpin yang mengamalkan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Siri Wacana Gapena V bertajuk Dilema Melayu anjuran Gapena (Utusan Malaysia: 23hb.Nov 2008)

KOMENTAR PUTRA:

Malaysia berada pada kedudukan ke-39 daripada 146 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Ketulusan Antarabangsa. Kedudukan ini tidak perlu dipertikaikan kerana hakikatnya gejala rasuah memang berlaku dalam masyarakat kita, lihat sahaja yang berlaku sekarang. Perdana Menteri kita juga banyak kali menegur supaya pemimpin UMNO menghentikan politik wang. Tidak salah juga untuk PM umum untuk Islam dijadikan ISLAM SEBAGAI DASAR MEREKA, rata2 mereka Melayu dan ISLAM. Mari kita lihat apa kata ISLAM TENTANG RASUAH. Maka buatlah penilaian, jika faham, maka lakukanlah terbaik untuk menghentikan/mengurangkan rasuah….saya tidak membenci UMNO, sebab saya sayang ORANG ISLAM lah saya tegur…saya tak nak tengok orang Melayu binasa sebab rasuah……

Rasuah ialah perbuatan sogokan dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang akan dan sudah ditunaikan dengan cara yang salah atau tidak betul. Pengharaman terhadap amalan rasuah adalah jelas.

Di dalam Al-Quran,Allah berfirman:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan(berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”. (S. Al-Baqarah:188).

Dalam Hadisnya pula, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Allah melaknat orang yang memberi rasuah Dan yang menerima rasuah.”
(H.R. Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Hibban).

Dalam Hadisnya yang lain yang diriwayatkan Abdullah ibnu Umar, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Aku melaknati orang yang memberi dan menerima rasuah serta perantara di antara kedua-duanya.” (H. R.Ahmad).

Dengan berpandukan kepada mafhum hadis itu, dapatlah disimpulkan bahawa sebagaimana haram memberi rasuah, haram juga menerimanya. Malah, dosa rasuah tidak terbatas hanya kepada pemberi rasuah dan penerimanya kerana ia turut membabitkan pihak ketiga yang bertindak sebagai perantara di antara pemberi dan penerima rasuah.

Hadiah kepada seseorang yang memegang sesuatu jawatan tertentu dalam pentadbiran juga adalah satu bentuk rasuah. Ini berdasarkan kepada kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. Baginda pernah melantik seorang lelaki, Ibnu Lutbiyyah sebagai amil untuk menjalankan tugas mengutip zakat di kalangan umat Islam. Kemudian Ibnu Lutbiyyah datang dengan hasil zakat yang dikutipnya dan menyerahkannya kepada Baginda sambil berkata: “Ini adalah untukmu, Ya Rasulullah, dan ini pula adalah hadiah yang diberikan kepadaku.Setelah itu, Rasulullah terus berdiri ke atas mimbar lalu bersabda:

“Demi zat yang jiwa Muhammad ada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan ada seorang pun di antara kamu yang mengambil hadiah itu melainkan pada hari kiamat kelak dia akan datang memikul hadiah itu sementara di lehernya ada unta, atau sapi, atau kambing, yang mengeluarkan suara yang berat.” (H.R.Muslim).

No comments: