27 September 2012

TIGA DALAM SATU?

Cerita satu...

Adalah hendak dikisahkan di sini. Saya telah berada di UKM, Bangi bermula 10 September hingga 14 September 2012. Menginap di hotel Puri Pujangga, UKM...dapat bilik double, makan sarapan, tengah hari, minum petang, dan makan malam. Wah, sedap-sedap belaka makanan di sana. Saya harap Puri Pujangga boleh kekalkan mutu perkhidmatan makanan yang bagus ini.



Tapi, eh...eh..nanti. Apa saya buat di UKM? Di Bangi? Saya bersama Pengurus Cawangan Pahang Aman Palestin pergi ke sana untuk berseminar bersama Syeikh Raed Solah dan comrade beliau.  Untuk pengetahuan semua, Syeikh Raed Solah ini adalah tokoh Palestin yang tegar mempertahankan Masjidil Aqsa. Beliau juga orang yang mula menjumpai terowong rahsia yang digali oleh pihak Israel yang sengaja berbuat begitu untuk meruntuhkan Masjid Aqsa dari bawah.

Selepas berseminar selama tiga hari itu, Aman Palestin berwacana di bilik Seminar untuk mengemas kini beberapa info yang kami dapat dari orang Palestin sendiri (Syeikh Raed sendiri) dan pakar dalam sejarah Baitul Maqdis. Di sini kami mahu tekankan kepentingan geografi. Apakah beza antara geografi Islami dengan geografi penjajah. Dan tentunya kita perlu lihat pada aspek objektif. Rasulullah menyebutkan beberapa nama tempat seperti Syams, Constantinole, agar tempat itu ada kaitan dengan kita umat Islam.

Adapun geografi penjajah ialah, mereka memecahkan dan mengasingkan tempat-tempat tersebut agar kita tidak lagi merasa dekat dengan tempat yang dimaksudkan tadi. Palestin itu sebahagian daripada tanah besar Syams, yang kini dipecahkan kepada Lubnan, Syria, Jordan, dan Palestin.  Sekarang kita lihat tanah Arab bergolak, dan tanpa ragu lagi kita tahu Israel adalah dalang di balik hura-hara ini.

Selain itu, disebutkan juga tentang Syiah. Jangan harapkan apa-apa dari Syiah. Syeikh Raed Solah sendiri berkata (dalam Bahasa Arab tentunya), Bagaimana kita hendak mengharapkan Syiah membebaskan Baitul Maqdis sedangkan mereka mencerca dan mengutuk orang yang membuka Baitul Maqdis yakni Saidina Umar Al-Khatab. Maka dikhabarkan juga, ura-ura Iran nak berperang dengan Israel dan Amerika takkan terjadi. Nampak sahaja macam bermusuh, tapi manja-manja di belakang pengetahuan kita.

Baik, habis cerita pertama.

Cerita Dua..

Yang ini juga saya dapati di bahagian kafe Puri Pujangga UKM. Hari kedua di sana, pagi-pagi saya bersarapan dengan pengurus cawangan dan beberapa orang kuat Aman Palestin, seperti Mejar Nazri dan Prof Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin. Semeja saya ketika itu dengan Dr. Zainur Rashid. Cerita beliau menangkap perhatian saya. Saya pastinya lupa sebutir-sebutir ayat beliau, tapi saya faham ceritanya secara keseluruhan. Temanya berkisar satu jenayah paling tua dalam sejarah manusia: PENIPUAN.

Kenapa saya kata itu jenayah paling tua? Tidakkah ia dimulakan oleh iblis ketika Nabi Allah Adam bersama Siti Hawa di Syurga lagi? Dan Qabil ditipu iblis supaya membunuh adiknya Habil ketika di muka bumi? Dr. Zainur Rashid menyebutkan nama seorang doktor, (kononnya doktor) yang tanpa malu menjaja reputasinya yang palsu untuk mendapat nama dan wang (tentunya). Sebagai pelukis komik yang berlagak jurnalis pernah berkomik tentang penipuan kewangan ni, topik itu menarik perhatian saya.

Kita namakan doktor dengan reputasi palsu itu sebagai doktor kangkung. DOKTOR KANGKUNG ini pernah berforum bersama Dr. Zainur Rashid di Kelantan dahulu. Dalam forum itu, doktor kangkung ini menjaja pil langsing, pil cepat hafal Quran, dan doktor kangkung ini bercerita reputasinya di Palestin sampaikan Perdana Menteri, Ismail Haniya bergegas mahu berjumpa doktor kangkung ini.

Mulut saya laju sahaja sebut: SCAMMER! Maaf menyampuk cakap orang...

Dengan senarai kelulusan yang diragui, dan kisahnya yang entah sahih atau tidak, saya bayangkan Dr Zainur Rashid dan beberapa doktor sah yang lain menepuk dahi dan menundukkan kepala...lalu menanyakan diri sendiri...bagaimana doktor yang macam ni boleh wujud dan merosakkan profesion doktor yang mahu mengubat orang? (Imaginasi sahaja...)

Puncak penipuannya sampai ke tahap doktor kangkung itu sudah rapat dengan ahli politik, dan iklannya di IKIM FM pasal Krim ajaib yang mengandungi nutrien daripada janggut Nabi Muhammad. Allah!! Sampai setara itu dia boleh pergi! Bertaubatlah, doktor kangkung!!

Habis...cerita kedua, Kita beralih kepada cerita paling ringkas.

Cerita Tiga

Meski pun saya masih dengan stand non partisan, tak bermaksud saya memekakkan diri dengan hal-ehwal politik semasa.

Sekarang ini pun IPTA bahkan IPTS sedang rancak dengan minggu PILIHAN RAYA KAMPUS (PRK).
Masing-masing, Aspirasi dan Pro Mahasiswa berkempen-kempen mencanang calon merekalah yang terbaik, yang lain terbalik. Cakap-cakap janji ditepati disemarakkkan sambil kisah-kisah janji-janji yang dicapati dahulu diungkit-ungkit. Dan kedengaran suara penyokong hingar-bingar. Mereka itu ada yang berpakaian oren, ada yang merah, ada yang pegang poster calon...ada yang siap membawa bendera parti (pihak) masing-masing.

Paling best apabila Utusan letak tajuk utama di muka depan, menghebahkan kemenangan aspirasi. PRK memang rancak, namun tidak sengit bahkan senget lagi. Kerana permainannya kotor. Lihat sahaja di UM, dan saya dengar kisah di UMP akan kekotorannya. Dan kisah PRK ini akan terbawa-bawa ke PRU. Pilihan raya UMUM.

Dijangkakan PRU 13 akan jadi yang paling kotor. Sama ada di pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Dua-dua pihak ada duri dalam daging, yakni MCA dan DAP.

Oh, lagi satu hal.
Mungkin rakan-rakan PAS akan bayangkan mereka dapat menobatkan Anwar menjadi PM, seterusnya apa? Kemudian Anwar disingkirkan daripada jawatan nombor satu negara itu dalam masa setahun dua. Dan DAP muncul menegakkan agenda mereka yang dah tentulah bukan negara ISLAM.

PAS, jadilah lebih pandai dalam memilih kawan, mengenal lawan, tahu jiran. Tengok respon orang UMNO pasal hudud. Mereka akan kata: Kita akui hukum hudud itu hukum Allah. Tapi sekarang masih belum sesuai dilaksanakan di Malaysia...(cakap Najib). UMNO takut-takut je responnya.

Kemudian kita tengok pula respon DAP: Langkah mayat saya dulu!! (cakap Karpal Singh yang beriman dengan perlembagaan. Kononnya). Yang ni lagi teruk, mati-mati terang-terangan tidak akan biarkan hukum Allah tertegak.

Untuk PAS jadi kuat, jangan geng sekali dengan DAP. Nak lawan UMNO bukan dengan cara tahaluf siyasi dengan DAP. DAP ada abang besar dekat Singapura, People Action's Party...or so called PAP, ruling party di negara kecik ego besar itu (macam Israel pula). PAP itu tuan-tuan, kita tengoklah layanan mereka pada Melayu Singapura.

Baiklah, cakap banyak tiada guna. Habis cerita ketiga. Wassalam. Tiada gambar, berlatihlah diri untuk membaca.

No comments: