08 January 2012

Tidak kesampaian....

Selepas 2 atau 3 hari menamatkan tempoh Latihan Industri saya di Zoo Taiping, saya terus berada di Changkat Jering. Waktu itu adalah peringkat awal bulan Ramadan. Dan tidaklah saya terus berada di Changkat Jering tanpa tujuan.


Mengapa? Ini kerana saya sudah berjanji dengan seorang senior yang juga berLatihan Industri di Taiping (tapi bukan di Zoo Taiping), yang saya akan bertandang ke sana untuk berjumpa pelajar-pelajar di sana. Namun dengan peraturan khas yang tidak membenarkan orang luar datang tanpa beralasan, maka senior itu merancang program khusus bagi saya dapat masuk ke sana dan meraikan pelajar Sekolah Tunas Bakti. Alamak, Sekolah Tunas Bakti?

Dari maklumat yang saya baca, Sekolah Tunas Bakti bukanlah sekolah yang biasa-biasa kita bertandang. Pastinya bukan sekolah kluster mahu pun sekolah bestari. Apa yang menjadikan sekolah itu unik adalah para pelajarnya yang mempunyai latar belakang yang tidak enak.Kelulusan program tersebut dicapai, dan saya beralah banyak kali apabila tarikh program itu beberapa kali ditunda.Saya pula, yang tidak pernah berceramah kepada khalayak ramai diundang menjadi penceramah. Berceramah tentang perkara yang orang ramai minat, tapi jarang-jarang difahami, dan saya cuma bagus dalam satu perkara ini sahaja: MELUKIS.

Tarikh akhir program itu 2 Ramadan, yang saya bersamaan dengan 8 Ogos. Saya mengambil masa tiga hari menyiapkan pembentangan Powerpoint, dan menulis nota untuk isi ucapan saya, dan mengambil isi powerpoint lain daripada Ustaz Tuan Azman yakni Ketua PEMBINA Taiping agar tidak bercerita hal melukis semata-mata.Saya yakin senior tersebut juga berkejar-kejar memastikan programnya yang dirancangnya selama sebulan dapat direalisasikan.

Tiba pada hari yang dikatakan itu, saya berpakaian kemas, menunggu waktu untuk bertolak sendiri ke sana. Walau bagaimanapun....Takdir Allah sentiasa mengatasi tadbir.

Program tersebut dibatalkan..begitu sahaja.Berita kecewa itu disampaikan melalui SMS. Hal ini terjadi kerana halangan daripada staf-staf di sana, lantas menjadikan persiapan saya suatu perbuatan yang sia-sia. Saya tidak berkesampaian juga menyampaikan kisah saya dan komik, medium komik untuk apa, dan beberapa tazkirah mudah kepada mereka. Saya kecewa, dan saya bertambah kasihan pada senior yang bertungkus lumus selama sebulan untuk program tersebut. Macam-macam persoalan datang: Kenapa saya dan senior tersebut dihalang daripada menjayakan program tersebut? Saya tidak minta dibayar, bahkan bertolak sendiri ke sana. Adakah sebab politik dalaman, kami ditolak mentah begitu? Atau kerana senior tersebut orang PAS, maka saya yang non-partisan ini terus mendapat label PAS?! Aduhai, kasihanilah mereka pelajar-pelajar di Sekolah Tunas Bakti tersebut.

Kini, bersendirian saya di Langkawi, tanpa apa-apa program untuk disertai dan dijayakan. Bekerjalah saya seperti sweatshop worker yang tiada hak untuk mengisi intelek, apatah lagi rohani saya. Saya mengharapkan agar berada dekat dengan mereka yang mempunyai peribadi hebat dan idea yang telus, agar akal dan jiwa saya terisi. Juga untuk menebus kembali program yang tidak kesampaian yang saya telah katakan tadi.
Ada jemputan untuk bercerita perihal lukisan, saya akan penuhi undangan tersebut selagi mampu.Saya buat tawaran ini sejujur mungkin.

No comments: