Zaman pramerdeka, sebelum 31 Ogos 1957, terdapat pelbagai perkara
yang wujud, bergerak, dan bertembung dalam satu dinamika yang membentuk
satu arus yang dominan, iaitu arus keluar dari bawah pemerintahan dan
pentadbiran penjajah kolonial British, seterusnya membentuk pentadbiran
negara sendiri.
Antara komponen besar yang menjadi elemen asas dalam dinamika
pembentukan arus itu ialah komponen pemikiran dan rasional akal. Pada
hakikatnya ia adalah pencetus kepada komponen-komponen lain yang
berlegar di sekelilingnya seperti komponen perasaan atau sentimen, dan
juga komponen tindakbalas fizikal atau penentangan yang zahir.
Ramai yang mudah lupa akan peranan penting komponen pemikiran di
Tanah Melayu pada waktu itu serta kesannya kepada peristiwa yang terjadi
pada 31 Ogos 1957. Sepertimana fitrah seorang insan, kenangan dan
nostalgia sering kali dipautkan pada perkara yang mudah dirasai, seperti
emosi dan sentimen (kebencian kepada penjajah) dan peristiwa-peristiwa
yang berlaku secara zahir (berlaku kongres orang Melayu, berlaku
rundingan dengan penjajah, Tunku Abd Rahman berangkat ke London, dan
sebagainya). Walhal yang lebih penting untuk diteliti dan diambil
pelajaran ialah pergulatan idea, pendapat, dan asas-asas pemikiran yang
menjadi landasan tercetusnya pelbagai peristiwa.
Memang, pada era itu tidak ramai rakyat Malaysia yang berfikir
secara panjang dan mendalam mengenai hal-hal negara. Kebanyakan orang
Melayu setelah lama tidak hidup memerintah (seperti ketika empayar
Melaka) lebih cenderung berfikir soal survival kehidupan dan
perkara-perkara asas untuk menyara hidup keluarga sendiri. Kebanyakan
orang Cina pula setelah agak dominan dalam arena ekonomi dan perniagaan,
lebih cenderung berfikir soal-soal yang boleh memelihara keuntungan
niaga mereka agar generasi seterusnya lebih mewah dan mempunyai banyak
harta. Kebanyakan orang India pula tidak jauh bezanya seperti orang
Melayu, soal sara hidup dengan ekonomi asas mendominasi bualan mereka di
ladang dan estet.
Tidak ramai rakyat Malaysia yang meluangkan masa untuk berfikir
soal-soal yang lebih rumit dan mendasar dalam pembinaan sebuah negara.
Persoalan-persoalan pada sudut budaya, agama, pendidikan, struktur
sosial dan pembangunan keluarga, tidak banyak difikirkan dan
dibicarakan. Sedangkan buah-buah pemikiran itulah yang menjadi khazanah
untuk masa depan negara.
Dinamika perjalanan menuju ke tarikh 31 Ogos 1957 adalah lebih luas
daripada satu kisah dan satu pendapat sahaja. Misalnya, bukan seluruh
rakyat Malaysia ketika itu sependapat dengan Tunku Abd Rahman bahawa
berunding dengan penjajah untuk merdeka itu adalah jalan yang terbaik
untuk masa depan negara. Ada tokoh-tokoh lain yang berfikir dalam
kerangka yang lebih mendasar, dan lebih mengambilkira generasi akan
datang.
Lanskap politik sebenar ketika itu hakikatnya lebih kompleks. Apabila
dilihat dengan lebih terperinci, kita akan menyaksikan lebih ramai
tokoh pejuang yang sebenarnya berperanan penting. Setiap tokoh membawa
idea dan gagasan Malaysia yang lebih komprehensif, tetapi tidak
kesampaian. ‘History is written by victors’ – dan dalam hal ini, Tunku Abd Rahman.
Mengapa tidak buah-buah pemikiran mereka itu kita ziarahi semula?
Barangkali ada pedoman dan pelajaran untuk Malaysia menyusun semula masa
depannya?
Lihatlah contohnya buah fikiran Syeikh Tahir Jalaluddin yang memberi komentarnya terhadap kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu:
“..Kemerdekaan itu bikinan beberapa syarat dan pada pandangan saya
belumlah sampai waktunya bagi kita boleh memerintah dan bersendiri.
Sekiranya itu yang dikehendaki terwajiblah atas kita sekalian anak
bumiputera yang berpengetahuan sempurna pada segenap perkara, bukanlah
segala pengetahuan agama sahaja bahkan segala pengetahuan dan kepandaian
orang-orang Eropah; mestilah dapat lebih dahulu dan sempurna kekayaan
anak bumi. Apabila telah sempurna dan cukup syarat-syarat itu barulah
boleh diharap mendapat keselamatan dan kemerdekaan dan jikalau tidak
nescaya kehendak itu cita-cita yang tidak boleh dapat. Jikalau berjalan
pun nescaya mendatangkan bahaya atas diri, maka yang demikian tidak
dibenarkan oleh syarak.”
Lihat pula pandangan Dr Burhanuddin Al-Helmy:
“Perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air akan bergolak terus
walaupun Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957 ini. Kemerdekaan itu harus
diisi dengan kenyataan-kenyataan, dengan realiti-realiti kemakmuran
ekonomi rakyat, dengan realiti, dengan kenyataan ketinggian akhlak
rakyat.
Perjuangan itu sama besarnya dengan perjuangan yang telah kita
pusakai dari datuk nenek kita menentang penjajahan semenjak kejatuhan
Empayar Melaka dulu. Dan sudah barang tentu perjuangan yang sebesar itu
menghendaki tenaga yang sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri
ini..” (1956)
Demikian beberapa petikan buah fikiran yang membentuk sebahagian
daripada dinamika naratif Tanah Melayu sebelum Tunku Abd Rahman
melaungkan merdeka pada 31 Ogos 1957.
Melangkaui lebih daripada separuh kurun semenjak tarikh itu, lebih
separuh kurun lafaz merdeka diulang setahun sekali sebagai peringatan,
adalah wajar pemikiran-pemikiran yang membenihkan arus tersebut suatu
masa dahulu dibuka semula kepada pentas diskusi dan perbincangan.
Barangkali kita akan menjumpai beberapa permata dan intan berharga
yang membantu kita menempuh jalan ke hadapan bagi negara ini, yang kini
sedang cekal mendepani himpitan dan asakan gergasi-gergasi penjajah
antarabangsa.
Syed Ahmad Israa’
COO IRIS Institute
Artikel asal di laman FOCUS (klik di sini)
1 comment:
https://luzizagalaksi.blogspot.com/2024/10/cinta-ini.html
Post a Comment