27 April 2011

KERDIPAN KELIP-KELIP

Azizul Shaharudin sudah melepasi viva voce, dalam kata lain ujian mempertahankan tesisnya. Ini adalah petikan dari Bab 1 Pendahuluan dan Bab 2 Ulasan Penulisan tesis beliau yang bertajuk: Kajian Ekologi kelip-kelip (order Coleoptera: famili Lampyridae) di habitat hutan paya bakau Sungai Beringgis, Sabah


      Hutan paya bakau merupakan kawasan hutan yang terdapat hampir di seluruh pelusuk dunia kecuali di kawasan Eropah, Artik, dan Antartika. Hutan paya bakau berada di persisiran pantai yang tenggelam ketika air pasang dan terdedah ketika air surut. Secara ringkas, habitat ini berada di kawasan yang ekstrem, sentiasa banjir dan kering pada setiap hari. Satu ciri yang menonjol pada hutan paya bakau ialah vegetasinya yang memiliki akar cerucuk dan pneumatofor yang memanjang ke atas, sebagai substrar keras di persekitaran sedimen yang lembut (lumpur). Dengan ciri yang unik ini, kawasan hutan paya bakau menjadi nurseri organisma darat dan marin, di mana 30% spesies ikan komersial bergantung kepada hutan paya bakau dalam peringkat global.


Coleoptera adalah order serangga paling besar dan paling pelbagai dengan 350 000 spesies berada di bawah taksa ini. Kebanyakan serangga di bawah order ini adalah kumbang. Famili Lampyridae dalam order ini mempunyai 2000 spesies yang dikenali sebagai kelip-kelip, kunang-kunang, firefly, atau lightning bug. Berbeza dengan kumbang yang lain, kelip-kelip mempunyai badan yang lembut, serta mengeluarkan cahaya pada hujung abdomen mereka. Cahaya yang dihasilkan kelip-kelip disebut bioluminescence. Cahaya kelip-kelip hanya kelihatan pada waktu malam sahaja.

Habitat kelip-kelip berada di hutan paya bakau dan kawasan padang rumput semula jadi di hutan. Kelip-kelip dijadikan pakej pelancongan eko (ecotourism) di kawasan hutan paya bakau dengan kerdipan cahaya yang menarik dan bercorak seperti lampu neon pada papan iklan pada waktu malam. Contoh kawasan yang dimajukan sebagai tempat pelancongan untuk melihat kelip-kelip ialah Kampung Kuantan di Kuala Selangor yang telah memberi pulangan lumayan kepada pengusaha pakej pelancongan dan kerajaan negeri.

Kitar hidup kelip-kelip adalah holometabolous, yang mempunyai fasa: telur, larva, pupa, dan akhir sekali imago (serangga dewasa). Larva kelip-kelip menyerupai cacing atau ulat yag berkaki enam, di mana larva ini menjadikan siput sebagai makanannya. Terdapat dua cara pemakanan larva kelip-kelip: menyuntik enzim yang menghakis isi badan mangsa dan kemudian menyedutnya, menggigit dan mengoyak isi daging mangsa secara hidup-hidup.
Berbanding dengan kajian kelip-kelip di Semenanjung, kelip-kelip di Sabah masih kurang pendedahan maklumat dan agak sedikit kajian saintifik difokuskan terhadap famili Lampyridae ini. Di Sungai Beringgis, kajian ini merupakan kajian saintifik yang pertama. Objektif kajian ini ada tiga: menentukan taburan koloni kelip-kelip, menentukan nilai diversiti dan kesamarataan kelip-kelip, dan akhir sekali mencari kaitan antara jarak sungai dengan kepadatan koloni kelip-kelip (cth: semakin jauh ke hulu, semakin kurang taburan koloni kelip-kelip)

No comments: