Klik gambar ini untuk baca sambungannya.
NAFTA (North American Free Trade Agreement) merupakan perjanjian perdagangan trilateral yang merangkumi 3 buah negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico. Perjanjian tersebut termeterai pada Januari 1994 setelah ditandatangani oleh Bill Clinton, Presiden AS pada ketika itu bersama Presiden Mexico, Carlos Salinas, dan Perdana Menteri Kanada, Jean Chrétien. Secara mudahnya, NAFTA merupakan perjanjian perdagangan yang menghapuskan segala kadar tarif dan kuota ke atas eksport Amerika Syarikat ke Mexico dan Kanada. Perjanjian ini turut merangkumi perlindungan hak harat intelek termasuk paten, tanda dagangan (trademark), dan bahan hak cipta. Bahkan NAFTA turut memperuntukkan mekanisme ISDS dalam salah satu bab perjanjian iaitu bab ke-11 dalam NAFTA.
Namun melihatkan kesan NAFTA setelah 20 tahun berlalu menimbulkan satu persoalan, sama ada mampu atau tidak sesebuah negara membangun seperti Mexico mampu memberi saingan dan mendapat manfaat sebaiknya dalam sebuah perjanjian perdagangan yang turut menampilkan Amerika Syarikat? Atau dengan kata yang lebih mudah negara manakah yang akan mendapat manfaat pada kadar optimum hasil dari mana-mana perjanjian perdagangan walaupun pada hakikatnya mereka terpaksa bersaing pada tahap kemajuan yang berlainan?
Mungkin perbandingan NAFTA dan TPPA bukanlah sesuatu yang relevan untuk dibandingkan secara keseluruhan, melihatkan tujuan utama TPPA adalah bermotifkan kepentingan geopolitik melebihi kepentingan perdagangan seperti yang mahu dicapai melalui NAFTA, namun dengan melakukan sedikit penilaian dan evaluasi ke atas NAFTA mampu memberi gambaran kepada rakyat Malaysia mengenai realiti yang terpaksa kita hadapi sekiranya Malaysia bersetuju untuk menandatangani TPPA. Maka, penting untuk kita lihat apa situasi semasa Mexico pasca NAFTA.
Berikut merupakan hasil evaluasi pasca NAFTA yang dihadapi oleh Mexico setelah 20 tahun berada dalam perjanjian tersebut:
1. Sebelum NAFTA (1960-1980), kadar KDNK per kapita hampir meningkat 2 kali ganda, menunjukkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 98.7%. Namun setelah 20 tahun berada dalam NAFTA, kadar pertumbuhan hanya menunjukkan peningkatan sebanyak 18.6%, hanya separuh dari apa yang dicapai oleh negara Latin Amerika yang lain.
2. Sekiranya NAFTA mampu mengekalkan prestasi ekonomi Mexico sebelum adanya perjanjian tersebut, Mexico kini mampu menjadi negara berpendapatan tinggi, namun situasi berkenaan tidak berlaku.
3. Menurut jabatan statistik Mexico, kadar kemiskinan di negara tersebut mencapai 52.3% pada tahun 2012, hampir menyamai kadar pada tahun 1994 sebelum adanya NAFTA, menunjukkan bahawa NAFTA gagal menyumbang dalam menurunkan kadar kemiskinan negara tersebut.
4. Kadar inflasi di Mexico pada tahun 2012 hampir sama pada tahun 1994, hanya menurun sebanyak 2.3% setelah 18 tahun berada dalam NAFTA.
5. Kadar pengangguran mencapai 5.0% ketika ini, berbanding purata 3.1% sekitar tahun 1990-1994 dan serendah 2.2% pada tahun 2000.
6. NAFTA turut memberi kesan buruk yang signifikan ke atas kadar pekerjaan dalam bidang pertanian di Mexico disebabkan oleh persaingan hebat daripada keluaran jagung Amerika Syarikat yang mendapat subsidi. Daripada tahun 1991-2007, terdapat 4.9 juta keluarga petani di Mexico yang kehilangan pekerjaan.
7. Mexico telah kalah sebanyak 5 kes melalui mekanisme ISDS yang diperuntukkan dalam NAFTA dan terpaksa membayar saman sejumlah 204 juta USD. Berbanding Amerika Syarikat yang telah memenangi 11 kes dan tidak pernah membayar mana-mana saman dalam kes NAFTA.
No comments:
Post a Comment