23 April 2012

Melayu, PTPTN & ABPBH

Membaca sebuah akhbar tempatan semasa menaiki kapal terbang baru-baru ini, perhatian saya tertarik kepada dua laporan yang menghidangkan statistik yang pada hemat saya wajar diteliti dan diperhalusi oleh pihak-pihak berkenaan. Menginsafi realiti umat masa kini, saya tidaklah begitu terkejut dengan statistik yang dikemukakan itu, namun hakikat yang tersurat dan tersirat di sebaliknya tetap menyentuh sensitiviti serta mengundang kerisauan di benak hati saya.


Laporan pertama menyatakan sejumlah 11,746 peminjam yang mendapat ijazah kelas pertama dalam pengajian mereka telah dikecualikan pembayaran balik pinjaman oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Menariknya, daripada jumlah tersebut seramai 8,818 terdiri daripada peminjam berketurunan Cina, manakala 2,347 orang Melayu dan selebihnya bangsa-bangsa yang lain.

Saya tidak mahu mempersoalkan samada keputusan yang dibuat itu adil atau tidak kerana pengecualian yang diberikan adalah berdasarkan merit, bukannya kuota kaum. Tidak juga mempertikaikan kenapa hanya penerima ijazah kelas pertama yang mendapat keistimewaan ini. Di sini juga bukan ruang untuk membincangkan samada wajar atau tidak pinjaman PTPTN dimansuhkan terus kerana itu satu polemik lain pula yang perlu dibincangkan secara tuntas di kalangan ahli-ahli politik, ekonomi, akademik dan ramai lagi.

Dapatan yang paling signifikan daripada statistik ini ialah bilangan penerima ijazah kelas pertama berbangsa Cina jauh mengatasi pelajar-pelajar Melayu, hampir empat kali ganda lebih ramai. Persoalannya kenapa? Sedangkan taburan rakyat di negara kita menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2010 menunjukkan bahawa kumpulan etnik Bumiputera mewakili 67.4% penduduk manakala bangsa Cina ialah 24.6%. Adakah bilangan orang Cina yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi lebih ramai berbanding Melayu? Saya pasti tidak. Jadi di manakah anak-anak bangsa Melayu yang lain?

Saya bersetuju kecemerlangan seseorang pelajar itu tidak hanya diukur pada kejayaan akademik, namun bukan bermakna kita tidak menitikberatkan aspek tersebut. Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk melakukan yang terbaik dalam setiap amalan. Dari segi keupayaan, potensi, kemudahan, bantuan dan peluang, tiada kurangnya kita berbanding orang lain. Berdasarkan pemerhatian, faktor utama yang membezakan ialah mentaliti dan sikap sebahagian orang Melayu yang tentunya mewakil kelompok utama umat Islam di Malaysia. Mungkin ini juga ada hubungkait dengan statistik kedua yang ingin saya bawakan.

Akhbar yang sama turut melaporkan bahawa dianggarkan seramai 5.3 juta orang telah menonton rancangan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang disiarkan secara langsung melalui TV3 Ahad lalu. Dikatakan ini rekod tertinggi sepanjang sejarah penganjuran majlis tersebut. Pada perkiraan saya, ini satu angka yang terlalu besar, mewakili hampir 20% keseluruhan rakyat Malaysia dan saya teramat yakin sebahagian besar daripada mereka adalah orang Melayu Islam kerana majoriti (jika tidak semua) artis yang terlibat pun daripada kelompok sama.

Sesetengah pihak mempersoalkan kenapa orang Malaysia sanggup mengundi warga luar sebagai pemenang anugerah utama ABPBH, namun apalah sangat isu tersebut dibandingkan dengan angka 5.3 juta orang itu. Statistik ini menjadi manifestasi jelas kecintaan masyarakat yang keterlaluan terhadap hiburan. Simptom-simptomnya sudah terlalu banyak: program hiburan disogok tanpa henti, rancangan realiti hiburan tumbuh bak cendawan selepas hujan, artis dijadikan idola, majalah hiburan bersepah di pasaran dan pelbagai lagi.

Inilah yang berlaku apabila masyarakat kehilangan jati diri dan tidak memiliki agenda yang benar. Tanpa satu agenda hidup yang besar, mereka akan mencari alternatif lain dan mengisi masa-masa terluang dengan perkara remeh-temeh seperti hiburan. Justeru itu, tidak dapat tidak masyarakat hari ini perlu dirawat segera supaya mereka kembali kepada jati diri muslim sejati, sedar matlamat hidup, faham agenda perjuangan, memiliki sikap positif, peduli masalah umat dan cakna dengan perancangan musuh. Semua ini hanya dapat dicapai melalui program pentarbiyyahan yang menyeluruh serta terancang.

Saya benar-benar yakin, sekiranya umat Islam jelas tentang matlamat hidup yang sebenar dan memiliki agenda perjuangan yang besar, rancangan-rancangan seperti ABPBH tidak lagi akan mendapat sambutan di jiwa masyarakat manakala bilangan penerima ijazah kelas pertama dari kalangan orang Islam pasti jauh mengatasi kelompok-kelompok lain.

“Membangun Umat Beragenda” 


Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA

No comments: