1. Adalah pada satu hari, selepas penat balik praktikal di ZOO TAIPING, saya bersama Ustaz Tuan Azman dan Cikgu Zul (YDP ISMA Bahagian Taiping), menaiki Nissan Grand Livina menuju ke Bertam (perlu diingati ini bukan Ulu Bertam, Melaka tetapi di Kepala Batas, Pulau Pinang). Memang tiada lagi tertahan-tahan untuk mendengar isi ucapan Prof Dr. Mohamed Hisham Hosni Saqar, penulis buku Ghulam Ad-Dakwah yang juga pensyarah Al-Azhar, di samping rasa suka kerana menaiki Grand Livina walaupun gerun juga dengan kelajuan 110 km/j yang macam mahu melayang-layang sahaja (bergantung pada jenis kereta).
2. Sekitar pukul 8.30 malam, barulah sampai di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas. Selepas parkir di kawasan khas yang disediakan, dengan rasa menggeliat otot yang kebas di tempat duduk kereta Cikgu Zul. Dapat masuk ke dewan utama. Kosong.
3. Kami dimaklumkan bahawa penerbangan tetamu utama tergendala selama setengah jam. Maka kami keluar dari dewan dan menuju ke masjid bagi solat jamak Maghrib dan Isyak. Kami bermusafir untuk tujuan yang "terbaek" (kata Boboiboy, kartun di TV3). Selesai solat pada pukul 9.30 malam, kami pun bergeraklah kembali ke dewan utama. Buat pertama kali dalam pengalaman saya ikut program untuk ikhwah ISMA, lelaki lebih ramai daripada perempuan. Program ini adalah kepada ikhwah dan akhawat dalam tiga negeri di utara: Pulau Pinang, Kedah, dan Perak.
4. Akhirnya dia sampai juga: Prof Syeikh Saqar dengan Ustaz Shahruzzaman yang bertindak sebagai penterjemah. Saya duduk bersebelah kawan dari UMS, Haziq. Ustaz Tuan Azman dan Cikgu Zul mengambil tempat duduk lain. Menyesal pula tidak duduk berdekatan Ustaz Tuan Azman agar ada terjemahan dari beliau. Pertama sekali Syeikh Saqar mengatakan bukan dia yang mahu lambat sebaliknya MAS yang menyebabkan penerbangan lewat.
5. Untuk isi pertama, beliau menegaskan bahawa keadaan di Mesir tidak boleh disamakan dengan keadaan di sini (Malaysia) kerana faktor revolusi di Mesir bukanlah atas kefahaman Islam, namun kerana sudah lama ditekan oleh pemerintah diktator. Selepas berlaku revolusi, macam-macam masalah berlaku dek tiada kefahaman pada Islam.
6. Bagi isi kedua pula, Syeikh Saqar mengutarakan lagi: Dengan banyaknya pendekatan umat di banyak negara Islam, adakah cara yang digunakan dalam negara itu boleh dicontohi negara lain? Tidak, kerana keadaan ini bersifat setempat. Masalah sebenarnya ialah masalah pada masyarakat yang tidak faham akan Islam.
7. Cabaran paling besar untuk mana-mana gerakan Islam ialah untuk menjawab satu persoalan: Apa itu Islam? Dalam hal ini Al-Syahid Imam Hasan Al-Bana telah menggariskan 20 usul sebagai kaedah asasi memahami Islam.
8. Berkisar pada realiti di Malaysia, kita semua risau dengan mereka yang hanya beriman dengan sebahagian sahaja daripada syariat. Selain itu ada persoalan lain seperti (1) Adakah kefahaman itu selari dengan akidah? (2) Adakah kefahaman itu syumul?
9. Adapun sumber kepada berhukum hendaklah dielakkan penggunaan kemahuan sebagai sumber dan rujukan. Hukumnya mestilah dari dua sumber ini yakni Quran dan Sunnah.
10. Bagi mereka yang berlainan manhaj dan fahaman dengan kita: Syeikh Saqar mengingatkan bahawa kita tidak boleh memandang serong kepada mereka yang berselisih faham dengan Ikhwan juga menghormati pandangan mereka. Serta bila sudah berada dalam Ikhwan, bekerjalah dengan mereka anggota-anggota yang bersungguh-sungguh.
11. Dalam berhubung antara manusia: hendaklah berkasih sayang antara mukminin dan muslimin, apabila dengan orang bukan Islam hendaklah kita menunjukkan kemuliaan Islam. Syeikh Saqar juga mengingatkan kepentingan tarbiyah sebagai asas untuk memajukan umat dan menegakkan daulah.
12. Syeikh Saqar juga mengulas lagi dengan satu gerakan Islam yang kini sudah bertahaluf siyasi, dilihat semakin hanyut. Ujarnya mereka mestilah iltizam dengan Islam bukannya bersepakat dengan mereka yang bukan Islam. Dan semoga mereka kembali kepada kebenaran.
13. Akhirnya, sebelum ucapan penutup kami sudah mengenderai Grand Livina untuk balik ke Taiping, sama ada di Changkat Jering mahu pun Ayer Kuning untuk urusan penting pada esok hari. Allahu akbar, saya balik pada pukul 2 pagi dengan rasa mengantuk yang amat di samping saya perlu bersiap siaga untuk Laithan Industri pada esok hari.
2 comments:
salam, ada ke solat Jamak Maghrib dgn Asar? mesti salah taip kan, Maghrib dgn Isya', betul x? :)
ya, saya silap taip tu. Saya dah betulkan semula. Terima kasih pasal sedar benda ni.MInta maaf banyak-banyak...
Post a Comment