23 June 2011

BURUNG PALING MERBAHAYA DI DUNIA

Ya, tajuk di atas itu benar, serius dengan apa yang saya mahu kongsikan kali ini. Dan burung tersebut antara koleksi yang ada dalam Zoo Taiping dan Night Safari, yang sekarang menjadi tempat saya melalui Latihan Industri. Bukan cerita Zoo Taiping, tetapi tentang burung yang satu ini (semasa menyemak fail haiwan di Bahagian Timur Zoo). KASUARI. Serupa kacukan burung unta dengan ayam belanda (turkey).



Gelaran burung paling merbahaya di dunia ini bukan main-main, Guinnes World Record yang bagi. Andai Guinness World Record sendiri yang bagi kenyataan, maka bukan main-main (atau sebaliknya jika Guinness mempermainkan kita). Perkenalkan burung kasuari, yang ketiga paling besar selepas burung unta dan emu, namun yang kedua paling berat. Kasuari ini kedapatan di New Guinea dan Utara Australia.

"Zizularts, anda beritakan burung ini paling merbahaya di dunia. Sebab apa dia merbahaya?"
"Dia makan daging manusia ke, Zizularts?"

Soalan pertama itu bagus, dan soalan yang kedua itu melampau juga. Pertama sekali, kasuari tak makan daging manusia. Namun kasuari masih lagi mengancam kerana boleh membawa kecederaan teruk kepada manusia dan anjing. Kasuari sangat agresif bila dirinya terancam atau dikepung. Maka mulalah dia...(tengok gambar bawah).
Wacha!! Flying kick! 
"Haha, aku ada perisai anti-kasuari!", ranger  cakap macam tu agaknya.

Ha, ini sebabnya dia merbahaya. Asal ada peluang sahaja, kakinya ringan sahaja menyepak orang. Dan tambah teruk lagi, tiga cakar tajamnya boleh bawa kecederaan teruk. Pernah timbul kes beberapa penjaga zoo cedera dek penangan kaki kasuari. Dan dalam sejarah perang, dicatatkan bagaimana askar Amerika dan Australia yang berkawal di New Guinea menjadi mangsa sepakan berkuasa oleh kasuari, walaupun amaran sudah diberikan. Itu harganya bila menceroboh kawasan kasuari, memandang haiwan ini sangat menjaga kawasannya (territorial).

Apa pun, tulisan ini tidak layak sama sekali dijadikan bahan berilmiah. Saya hanya membawakan maklumat dengan santai memandangkan kajian berkenaan burung ini bertimbun dalam Bahasa Inggeris. Maka saya buat terjemahan ringan dan longgar dalam Bahasa Melayu. Dengan memperbanyakkan pemindahan ilmu pengetahuan ke bahasa ibunda, maka tiada alasan lagi untuk memandangg lekeh kepada usaha para ilmuan memartabatkan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Apa, benda akademik ini mesti dalam Bahasa Inggeris ke?

No comments: