14 February 2011

TOWOWO...

Azizul Shaharudin melaporkan di sini.
Satu hari selepas kerja lapangan untuk kursus etnobiologi, mewawancara penduduk Kampung Tikolod, dalam daerah Tambunan, melalui Jalan Garam yang digunakan generasi dahulu serta melakukan kerja-kerja ahli botani lakukan....sampling tumbuhan, dengan syarat; ambil spesimen yang ada bunga sahaja.

Gambar di atas itu adalah gambar satu tumbuhan yang tumbuh meliar di halaman rumah penduduk kampung. Orang sana sebut namanya, Towowo. Berbeza dengan kerja lapangan sebelum ini, metodologinya melibatkan wawancara dengan penduduk kampung, yang kebanyakannya orang Dusun beragama Kristian. Oh, saya nak cerita pasal Towowo serba sedikit. Ni tumbuhan herba yang orang sana guna untuk buat ubat buang angin, untuk perempuan yang bersalin, serta sebagai "pest control". Ini maklumat yang saya dapat daripada seorang informant berusia 64 tahun.

Jika kita fikirkan semua orang sana banyak pengetahuan tentang tumbuhan di sekitar mereka, anda silap. Bila diwawancara orang kampung berusia 30 hingga 48 tahun, pengetahuan mereka terhad pada pokok yang berbuah dan halia yang menjadi sumber rezeki mereka.

Selepas tamat hari pertama, saya balik ke tempat penginapan di Tondorosan dengan perkataan Towowo disimpan dalam memori. Dan pokok Towowo inilah yang mendapat perhatian pensyarah, Dr. Charles, mungkin kerana potensinya sebagai ubatan atau kemungkinan dia ni spesies yang tidak direkodkan lagi.

Sampainya saya di kampus, saya mula memikirkan bahawa, ahli akademik tidaklah pandai sangat, dan orang kampung bukannya bodoh betul. Jurang itu tidak besar mana pun. Mereka (orang kampung) ada pengetahuan tentang apa yang tumbuh di hutan dan apa yang ditanam di sekitar rumah mereka, dan mereka tahu kegunaan setiap satu daripadanya. Towowo, towowo, towowo....

Semoga towowo, daun wangian, bunga kantan tidak lenyap oleh pembangunan. Insya-Allah, pengetahuan penduduk kampung yang berharga ini moga digunakan dengan sebaiknya di tangan orang-orang baik (dan beriman).

No comments: