14 September 2014

TIANG SERI KEPADA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


Gambar hiasan...Lukisan sempena Merdeka 57 tahun. Boleh diguna untuk Hari Malaysia 16 September nanti.

Zul Fahmi Bahrudin
Penganalisis Sejarah dan Perlembagaan Malaysia
Institut Kajian ArusBaru Malaysia


Perlembagaan merupakan asas utama kepada pembentukan sesebuah Negara yang berdaulat.  Tujuan dan fungsi utama perlembagaan adalah untuk mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil, mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah, mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat, alat untuk menyelesaikan masalah, menjamin riwayat negara bangsa serta mengekalkan keamanan dan kestabilan Negara.1

Malaysia, sebagai sebuah Negara yang berdaulat memiliki perlembagaannya yang unik, unggul dan tersendiri yang juga dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Malaysia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berdasarkan kepada dua dokumen perlembagaan terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.

Terdapat empat paksi utama atau ‘tiang seri’ yang membentuk Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak dan kedudukan Istimewa Orang Melayu, Kedaulatan Raja-raja Melayu dan juga Bahasa Melayu sebagai rasmi.  Paksi-paksi ini tidak dimasukkan secara tidak sengaja ke dalam perlembagaan melainkan adanya sejarah yang unik dan tersendiri yang membawa kepada perkara tersebut. Empat perkara tersebut telah dirangkumkan dalam sebuah perjanjian lisan yang dikenali sebagai kontrak sosial.


Kontrak Sosial merupakan satupermuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuandi kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.2 Istilah kontrak sosial sebenarnya tidak ditulis di dalam perlembagaan persekutuan 1957. Walaubagaimanapun, kita wajib memahami bahawa kontrak sosial ini telah menjadi asas utama dalam perlembagaan tersebut, yang merangkumi empat perkara iaitu kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, Hak istimewa orang melayu dan Bahasa Melayu. Secara mudahnya, kontrak sosial adalah satu istilah yang mewakili kesediaan orang Melayu untuk memberi kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu dengan bayaran keempat-empat perkara yang telah dinyatakan tadi..

Malayan Union 1946

Catatan sejarah yang jelas membawa kepada pembentukan kontrak sosial adalah ketika penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946. Faktor utama penentangan Orang Melayu terhadap bentuk pentadbiran ini ialah hak kewarganegaraan sama rata, penghapusan istilah Peribumi (Bumiputera) dan Anak negeri serta penghapusan mutlak Kedaulatan Raja-Raja Melayu.4 Perkara utama yang terkandung di dalam dasar Malayan Union ialah konsep Jus Soli. Jus soli bermaksud hak untuk mendapat kerakyatan berdasarkan kelahiran di sesebuah negara. Konsep ini akan menguntungkan golongan imigran atau orang pendatang kerana mereka boleh memperoleh kerakyatan dengan mudah di Tanah Melayu pada masa itu. Hal ini berbeza dengan nasib penduduk asal Tanah Melayu pada masa itu yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu yang akan terancam status quo mereka sebagai rakyat asal di Tanah Melayu.

Secara umumnya, hak kewarganegaraan terbuka Malayan Union akan mengancam kedudukan orang Melayu dari segi penguasaan politik dan ekonomi mereka di Tanah Melayu. Mereka juga akan berhadapan dengan kemungkinan diatasi dari segi jumlah penduduk oleh orang bukan Melayu sehingga menjadikan mereka sebagai golongan minoriti di tanah asal mereka sendiri.

Persekutuan Tanah Melayu 1948

Bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union kemudiannya berhasil dan memaksa pihak koloni British untuk menggantikan Malayan Union dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian ini merupakan satu kejayaan besar bagi perjuangan orang Melayu untuk mengekalkan status quo mereka terutama sekali dalam isu kewarganegaraan dan kedudukan Raja-raja Melayu. Perjanjian ini juga buat kali pertamanya menunjukkan pengiktirafan koloni British terhadap status orang Melayu sebagai penduduk asal di Tanah Melayu.5

Orang Melayu kebanyakannya telah berpuas hati dengan perlembagaan baru ini. Walaubagaimanapun, orang bukan Melayu telah menimbulkan reaksi yang berbeza disebabkan ketidakpuasan hati mereka mengenai undang-undang kerakyatan Persekutuan yang ketat.


Perlembagaan Kemerdekaan 1957

Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum memperoleh kemerdekaan daripada Britain. Suruhanjaya ini ditubuhkan pada Mac 1956. Sebanyak 118 pertemuan telah diadakan antara Jun hingga Oktober 1956, iaitu selepas rombongan Parti Perikatan pulang dari Perundingan London, dan telah menerima 131 memorandum dari pelbagai pihak individu dan organisasi. Semua surat memorandum daripada rakyat jelata yang berminat akan dipertimbangkan dan terdapat juga yang ditolak termasuk daripada Parti Perikatan yang telah memenangi Pilihan Raya umum 1955 itu sendiri.

Terdapat lima jenis kerakyatan yang terkandung di dalam Perlembagaan Kemerdekaan ini. Kategori yang kedua di dalam syarat kerakyatan ini jelas menunjukkan ciri kerakyatan Jus Soli di mana mereka yang dilahirkan di Tanah Melayu selepas Kemerdekaan akan memperolehi kerakyatan walaupun kedua-dua ibu atau bapanya masih belum memiliki kerakyatan. 7 Selain itu, kategori-kategori lain kerakyatan yang terkandung di dalam suruhanjaya ini juga jelas membawa kepada konsep kerakyatan terbuka yang menimbulkan kritikan daripada Parti Politik, Organisasi dan pemimpin-pemimpin Melayu.


Secara umumnya, orang Melayu membantah dan menyuarakan kebimbangan atas cadangan suruhanjaya Reid ini. Menurut majalah Qalam bilangan 70, keluaran Jun 1956, prinsip jus soli yang terkandung dalam suruhanjaya Reid akan menyebabkan Bangsa Melayu akan menjadi penumpang dalam negara ini dan mereka akan diperintah oleh orang asing dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun akan datang disebabkan peningkatan bilangan golongan pendatang di Tanah Melayu.8

 


PAS turut membantah terhadap Laporan Suruhanjaya Reid telah membawa parti tersebut mengadakan satu rapat umum di Padang Malaya, Kuala Terengganu pada 17 Mac 1957 yang dihadiri kira-kira 2,000 orang penyokong. Dalam rapat umum tersebut, Dr. Burhanuddin al-Helmy (Yang Di-pertua Agung PAS) telah menyatakan bahawa syor-syor dalam Suruhanjaya Reid tersebut merugikan bangsa Melayu dan terbabas dari keadilan.9


Kesimpulan

Rentetan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku bermula daripada 1946 iaitu sejak penubuhan Malayan Union sehinggalah kepada Laporan Suruhanjaya Reid, yang menjadi isi utama perlembagaan Negara merupakan bahagian penting kepada pembinaan Negara berdaulat kita pada hari. Penentangan orang Melayu terhadap konsep kerakyatan terbuka melalui konsep jus soli bukanlah bersandarkan kepada emosi semata-mata, sebaliknya berpunca daripada sejarah mereka yang panjang di Tanah Melayu yang hari ini dikenali sebagai Malaysia.

Akhirnya, tuntutan-tuntutan kewarganegaraan terbuka oleh orang bukan Melayu diterima tetapi bersyarat, iaitu orang bukan Melayu wajib menerima Islam sebagai agama Persekutuan, Hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Sejarah ini jelas menunjukkan  kepada rakyat Negara ini, sama ada Melayu atau bukan Melayu, sebarang usaha untuk mencabar asas perlembagaan ini hanya akan mengakibatkan ketidak stabilan serta huru hara di tanah air yang kita cintai ini.

Sumber
1 Pusat Maklumat Rakyat, http://pmr.penerangan.gov.my.
2 Abdul Manaf Haji Ahmad. 2009. Kontrak Sosial, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
3 Shamsul Asri Baharuddin. 2012. Modul Hubungan Etnik (Edisi Kedua), Institut Kajian Etnik, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.
4 Abdul Halim Ramli. ND. Perdebatan Antara Kaum Mengenai Isu Kerakyatan Sebelum Merdeka, Jurnal Sejarah. 57.
5 ibid.60
6 ibid.64
7 ibid. 74
8 ibid. 72
9 ibid. 76

artikel asal boleh dibaca di Arus Baru

No comments: