KENYATAAN RASMI PEMBINA
Konsert hiburan melampau dicemari dadah, penganjur perlu dikenakan tindakan tegas
1. Kita dikejutkan dengan kes kematian 6 orang belia akibat terlebih
dos dadah methamphetamine di konsert 3 hari Future Music Festival Asia
2014 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil bermula 13 – 15 Mac 2014.
Empat dari enam orang yang dilaporkan mati tersebut merupakan belia
Melayu Islam. Penganjur FMFA2014 adalah Livescape Sdn Bhd yang dimiliki
juga oleh warganegara Malaysia beragama Islam dan berbangsa Melayu.
2. Dadah methamphetamine atau lebih dikenali dengan nama ‘meth’ atau
‘crystal’ diambil bertujuan memberikan ketahanan fizikal untuk berparti
bagi satu tempoh yang panjang.
3. Ini bukan kali pertama kejadian
ini berlaku. Pada 15 Mac 2013, kira-kira setahun yang lalu, 17 orang
dilaporkan maut atas sebab yang sama di konsert A State of Trance yang
telah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang yang dianjurkan oleh
syarikat yang sama.
4. Livescape Sdn Bhd selaku penganjur Future
Music Festival Asia 2014 mensasarkan kehadiran 60 ribu hingga 85 ribu
pengunjung dengan jumlah 20 ribu warga asing dengan matlamat menjadikan
Malaysia Negara hab hiburan antarabangsa. Syarikat ini mengadu mengalami
kerugian jutaan ringgit akibat tindakan kerajaan membatalkan permit
konsert mereka.
5. PEMBINA mengucapkan tahniah kepada pihak
kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan
kerana telah membatalkan serta-merta permit konsert tersebut pada tahun
ini rentetan kes kematian yang dilaporkan seperti di atas. Namun,
PEMBINA kesal tindakan ini sebenarnya telah terlewat di mana penganjur
mendakwa berpengalaman menganjurkan lebih 100 konsert dengan konsep yang
sama.
6. PEMBINA mendesak pihak kerajaan melalui Jabatan Perdana
Menteri dan Kementerian Pelancongan mengkaji semula matlamat kerajaan
menjadikan Malaysia Negara hab hiburan antarabangsa. Kematian belia
secara sia-sia ini dan keruntuhan moral generasi muda merupakan kerugian
yang lebih besar berbanding pendapatan yang dijangka dijana melalui
sektor pelancongan negara.
7. PEMBINA mendesak pihak kerajaan
melalui Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula dan menarik lesen
perniagaan syarikat penganjur. Penganjur perlu bertanggungjawab di atas
kes-kes kematian tersebut walaupun di dalam kenyataan rasmi mereka
baru-baru ini menyatakan kekesalan yang berlaku dan menyalahkan
pengunjung semata-mata di atas insiden. Penguatkuasaan bagi penganjuran
program hiburan seperti ini perlu diperketatkan lagi.
8. PEMBINA
mendesak agensi kerajaan seperti Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) dan
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) meningkatkan penguatkuasaan dalam
membanteras penyalahgunaan dadah ini. PEMBINA kesal apabila laporan
media menyatakan dadah jenis tersebut boleh didapati dengan mudah dan
murah. AADK dilihat masih belum berjaya membanteras najis dadah dari
merosakkan generasi muda.
9. Syariat Islam tidak melarang kita
berhibur kerana ia merupakan fitrah manusia yang memerlukan
elemen-elemen yang mendamaikan jiwa. Tetapi, hiburan melampau yang
sia-sia, hiburan tanpa batasan, tiada kawalan pergaulan silang jantina
dan dicemari najis dadah ditegah oleh agama. Kita perlu yakin bahawa
Islam sebagai agama yang syumul memberikan penyelesaian kepada semua
aspek kehidupan seorang manusia.
10. PEMBINA mengajak seluruh
masyarakat untuk memainkan peranan dalam memberikan tekanan dan menolak
penganjuran program hiburan melampau yang merosakkan jatidiri belia.
11. PEMBINA sebagai sebuah persatuan belia Islam mengajak seluruh warga
belia untuk kembali serius membangun jatidiri dengan ajaran Islam yang
luhur agar dapat menjadi benteng diri melawan elemen-elemen negatif yang
merosakkan. PEMBINA menyediakan wadah untuk belia dan beliawanis
membangun potensi diri secara positif.
Jabatan Komunikasi Strategik,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
No comments:
Post a Comment