Captain, kita pergi pekena teh tarik dulu, naa?
Susunan filem secara keseluruhannya cemerlang sampai kita tidak sedar plotnya semitipikal: Misi mengumpulkan individu-individu yang hebat, namun ego masing-masing mencalarkan kerja sama. Kemudian bila bencana menimpa, mereka bersatu semula.
Tiada dialog yang dirasakan sia-sia, bahkan ada kalanya mengundang rasa lucu. Apatah lagi dengan dialog Tony Stark (Iron Man) yang suka menyindir Steve Rogers/ Captain America, Bruce Banner/ Hulk, dan Thor. Dan buat kali pertama, Hulk betul-betul "gempak" dalam filem ini, setelah filem Hulk pada 2003 sangat mengecewakan, dan filem Incredible Hulk pada 2008 hanya suam-suam kuku.
Watak pilihan saya: Loki lakonan Tom Hiddleston. Melakonkan watak jahat yang licik dan penuh dengan agenda yang berbelit-belit pastinya sukar, namun Loki berjaya dizahirkan dengan baik sekali...Jika ada watak antagonis terbaik dalam filem terbitan Marvel Studio, maka Loki adalah yang terbaik. Atau adakah saya sewel memilih antagonis sebagai watak kegemaran? Tidak mengapa...
Aksi? Kaboom, meletup! Komedi? Sangat kelakar! Romantik? Tidak perlu ada (bukankah ini filem adiwira?) Dan yang lebih dikenang ialah, malam saya menonton filem ini di GSC (dalam 3D), adalah pada hari Sabtu, 28 April. Ya, hari itu. Pada masa BERSIH 3.0 mengambil tempat dalam seluruh media di Malaysia. Dan dalam laman Facebook dan Twitter, saya tidak memberi komen apa terhadap kempen tersebut. Saya tidak mahu mencurahkan minyak pada api yang sedang marak.
Dan saya tidak balik mengenang aksi bombastik sahaja, saya juga terfikirkan satu perkara mudah dan semitipikal seperti plot filem ini: jika selama ini kita asyik bertikam lidah, hanya masa yang menjadi isu untuk kita bersepakat memperjuangkan kepentingan bersama. Dalam kes ini, UMNO boleh bangkit jika dia kembali pada Islam, buang daki rasuah dan politik wang. Manakala PAS pula, mereka perlu sedar dengan siapa mereka berpakat dalam Pakatan Rakyat itu. Sepakatlah bangsa Melayu, umat Islam sekalian.
Lagi satu, kepada mereka yang mahu memastikan filem yang mereka mahu tonton adalah berbaloi, saya sarankan mereka pergi ke IMDb (klik sini) atau Rotten Tomatoes. Dalam IMDb ada beberapa poin penting, macam Parent Advisory Content. Anda perlu teliti hal ini sebelum mengajak anak-anak menonton mana-mana filem. Dan pastinya ulasan daripada Critique dan penonton lain, barulah kita tentukan langkah seterusnya, tonton atau tidak.
Maka, sekian sahaja ulasan daripada saya selain pendapat peribadi ini.
No comments:
Post a Comment