07 July 2011

PANDUAN: uNtuk Pengunjung Z00

Ini jaguh bina badan dalam semua haiwan di Zoo Taiping.
SELADANG/ Malayan gaur
Setelah beberapa lama saya menjalani Latihan Industri di sini, sementara otak dan perasaan saya sudah tepu melihat haiwan-haiwan dalam Zoo Taiping & Night Safari, gelagat mereka yang mengunjungi zoo tidak berhenti untuk menghiburkan saya. Yang paling geram mestilah dengan kedatangan anak-anak kecil yang sungguh err..kecil (semestinya) dan comel. Apa pun, saya juga merasa simpati jika lawatan mereka dalam zoo ini tidak setimpal dengan bayaran tiket yang mereka beli.

Saya tidak boleh berlagak saya tahu semua, dan tak semua saranan saya ni wajib dituruti satu-persatu. Terpulang, tapi ia untuk keselesaan anda nanti. Maka saya perturunkan saranan ini mengikut pendapat saya.


1. Pakai pakaian yang selesa, tambah pula dengan cuaca yang tidak menentu sekarang. Topi kepala amat digalakkan, beserta pemakaian kasut. Perjalanan melawat satu-satu haiwan dalam pameran selalunya mengambil masa yang lama. Bagi mengurangkan kesan matahari yang terik, saya sarankan pemakaian topi untuk pelawat zoo. Bagi lawatan sekolah atau organisasi tertentu, kasut mesti dipakai, setidak-tidaknya mempamerkan etika persatuan/sekolah/jabatan sendiri. Dan elakkan kasut tumit tinggi.

2. Bawa payung sebelum hujan turun. Kebanyakan zoo tropika, tidak terkecuali zoo di Malaysia, takde fasiliti untuk pameran haiwan secara indoor. Bila cuaca panas, panaslah persekitaran zoo. Jika hujan turun, basahlah sekitar zoo. Tatkala baju basah ketika lawatan ke zoo, sudah pastinya nilai kunjungan itu menyusut teruk seperti susutan nilai saham di Bursa Malaysia dan ditutup rendah pada hari ini. (Gurau je...)

3. Bawa bekal air dan makanan sendiri. Cara ini menjimatkan belanja anda semasa lawatan zoo, serta mengurangkan keletihan selepas berjalan kaki lama menghabiskan lawatan kita. Sebaiknya bawa air minuman sama air yang dijerang di rumah, reverse osmosis, hatta air mineral sekali pun. Dengan itu, anda, saya dan kita semua tidak lesu (paling teruk, pitam) akibat dehidrasi. 

4. Ini adalah kemestian dalam mengunjungi zoo, kamera. Detik-detik menyeronokkan di zoo bukan sekadar disimpan dalam memori otak kita, bahkan semakin elok juga disimpan dalam kad memori kamera kita. Maka cerita kita mendukung orangutan atau memberi makan kepada kanggaru bukan sekadar cerita mahu pun retotik semata-mata. Jadi apa pesanan saya? Bawa kamera.

5. Oleh kerana zoo adalah satu bentuk pemuliharaan moden dan pendidikan alam sekitar, ibu bapa dan guru-guru patut ada sedikit ilmu dan kemahiran untuk menerangkan gambaran haiwan pameran kepada anak-anak. Jom ikuti dialog di bawah;
Murid: Cikgu, ini haiwan apa?
Cikgu: Tapir.
Jawapan yang macam ni tak dapat mengembangkan minda anak-anak kecil serta membantutkan minat mereka kepada haiwan yang jarang-jarang sekali dilihat dalam kehidupan harian. Dialog berikutnya patut lebih berkesan seperti berikut;
Murid: Cikgu, ni haiwan apa?
Cikgu: Itu tapir, badan dia hitam putih. Belalai dia pendek, dia suka makan daun.
Elok kan? Jawapan macam ini boleh menghasilkan respon yang baik dari si kecil, dan mereka bertanya lagi. Dan input itu akan sentiasa bertambah dan anak-anak akan makin berminat. Janganlah terlalu terperinci penyampaian maklumat tu kepada mereka seperti nama saintifik, berapa lama membiak dan maklumat ranting yang lain. Simpan maklumat itu untuk mereka apabila sudah remaja dan besar panjang.

6. Kepada ibu bapa dan para guru, biar seseronok mana pun kita dalam zoo, utamakan keselamatan mereka yang berada dalam jagaan kita. Berjaga-jaga andai anak kecil mula gatal tangan memanjat pagar kandang buaya, atau pun cuba-cuba curi masuk ke dalam kandang beruang (Saya pernah buat, masa umur lima tahun, akibatnya arwah ibu saya selalu mengungkit kembali kisah itu dan gelakkan saya).

7. Akhir sekali, jaga kebersihan dan buanglah sampah di tempat yang sepatutnya. Andai ada tong sampah yang sudah penuh, jangan isi lagi tong tersebut dengan sampah yang menimbun keluar daripada tong, dan tentu itu bukan pemandangan yang indah bagi semua pengunjung. Cari tong sampah yang lain, atau buang sampah tersebut di tong sampah di luar. Kebersihan itu sebahagian daripada iman.

No comments: