10 July 2011

KERANA MANISNYA EPAL (beserta fan art)

Isu sastera sensasi sekarang tentulah pada novel Interlok karya Abdullah Hussein, Sasterawan Negara. Dek kontroversi itu, ramai yang dahulunya tidak tahu akan novel tersebut tergesa-gesa mencari novel Interlok tersebut, yang hanya dihargai apabila buku dibakar. (Kata-kata tentang buku hanya dihargai apabila dibakar ini dipetik dari Nisah Haron.)

Dahulu, isu sekitar sastera juga panas bila difokus kepada politik tanah air sekitar tahun 2000, oleh buku bertajuk "S**T" oleh Dato' Shanon Ahmad. Pada masa kisah buku itu disensasikan, saya masih lagi bersekolah menengah. Saya, persis remaja yang lain, tidak alim, selalu bermain, malas buat kerja sekolah, namun dengan usia mentah itu saya berpeluang pula membaca karya S**T itu. Namun sudah resmi budak mentah, saya berhenti pada mukadimahnya, yang berkisar pada definisi S**t itu. Teksnya bukanlah berisi najis pun, maka masa itu saya terfikir apa yang sensasinya buku ini selain tajuknya.



Sudah, cukup saya merewang ni. Tulisan saya kali ini sebagai luahan rasa dan fikir bagi teks sastera usai sekolah menengah dahulu. Sedikit menyesal kerana baru menghargai bahan bacaan kreatif yang ditinggalkan masa lalu, dan kemudian dipaksa menghadam informasi dari subjek "hard science" yang saya ceburi. Namun sedikit sebanyak, cerpen Kerana Manisnya Epal (oleh Faisal Tehrani) ini menyentuh hati saya pada latar luar negara, kesedapan epal, cuaca di sana, dan tingkah laku Mazlina, Yvonne, dan Buccahanan yang mempertahankan ladang epal warisan keluarganya.

Sumber ilham bagi karya sastera adalah daripada persekitaran, lagi umum ialah bumi kita. Bagaimanakah karya yang baik terhasil andai tiada unsur alam sekitar? Dan bolehkah kita menggambarkan sesuatu yang enak di benak semasa membaca cerita tentang kilang, asap, debu dan hiruk-pikuk bising di bandar? Hah, awak tahu jawab, kan.
Sungguh, saya gembira dengan peleraian di hujungnya iaitu KERANA MANISNYA EPAL, di mana masalah ladang epal yang mahu ditukar kepada lapangan terbang tentera itu dileraikan dengan cara yang tidak melukakan mana-mana pihak sekali pun, sebelum Yvonne sempat menggunakan senapang patah (shotgun).
Saya merasakan bukan ladang epal sahaja yang dipertahankan oleh Bucchanan, tetapi bumi yang berbudi kepada keturunannya.

Maka dengan itu, saya melakarkan kesukaan saya dalam bentuk lukisan yang awak nampak ini. Sebelum ini pun, saya pernah menghasilkan komik Annys Sophillea karya Nisah Haron atas medium buku latihan (patut jadi buku untuk kerja sekolah, akhirnya jadi komik pula). Dan cuba teka, Dato' Lat pun mula berkarya di atas buku latihan juga!

Isu pendidikan sastera kepada pelajar sekarang:
Entahlah, saya tidak berupaya untuk membuat hukuman juga tidak berkuasa untuk memutuskan penilaian tepat kepada pengajaran sastera kepada pelajar dewasa ini. Sastera dipandang kelas kedua kerana berlambaknya pelajar kurang pintar dalam aliran tersebut dan pelajar pandai atau diklasifikasikan sebagai pandai (saya di kategori ini) automatik masuk dalam aliran sains tulen. Dan masalah pelajar sekarang berlaku kini antaranya disebabkan oleh jiwa yang tidak menghargai, jiwa yang tidak tenang, bahkan tiada kehalusan budi. Serta pengajaran KOMSAS juga kaku, beku, dan susah untuk laku. Kerana balik-balik berkisar sinopsis, latar, watak perwatakan, dan akhir plot. Tiada ruang untuk pendapat peribadi kepada teks yang dimuatkan dalam KOMSAS, maka jadilah dia mengikut skema jawapan.

Saya ulangi, saya tidak berupaya menghukum perihal tadi. Kerana saya sendiri pernah berada dalam sistem itu. Maka saya juga manusia, tidak maksum dan boleh sahaja salah. Baik, ini sahajalah luahan rasa berkisar dunia sastera yang baru saya mesra. Mahukah kamu menunggu lagi sasterawan seunggul Muhammad Iqbal, yang hebat bersyair dengan isu-isu agama yang berat? Don't wait for the one, let's be the one!
(P.S: lukisan saya ini macam terlebih glamer pula, dan ada di twitpic zulzykenz)

1 comment:

Iza Musa said...

Kerana Manisnya Epal. Best cerpen eva by Faisal Tehrani. Cheese,Pizza,Spaghetti. Selera orang bandar, tapi sebenarnya orang kampung.:)