16 September 2008

RAMADHAN MENguji keMANTAPan IMAN

Salam tetamu ramadhan.Bulan Ramadhan adalah bulan yang turun pelbagai rahmat dan keampunan. Bagi orang Islam yang beriman akan ayat Allah yang berfirman “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”[Al-Baqarah: 183]. Orang yang benar-benar beriman dan percaya pada Allah sahaja yang dapat melakukan ibadah puasa. Mari kita selami maksud iman dan apa kaitan iman dengan akidah. Menurut Imam Sayyid Sabiq, Iman membawa maksud membenarkan segala apa yang dibawa Rasulullah daripada Allah dan kepercayaan itu sah dengan mengenal Allah. Dalam konteks lain, Iman merupakan persoalan asas atau pokok dalam akidah. Di mana di atas dasar Iman dan akidah tersebutlah terdirinya syariat. Untuk itu menurut Sayyid Sabiq, Iman dan Islam itu atau keimanan dan amalan itu merupakan suatu yang saling kait berkait dan perlu memerlukan dan hubungan diantara keduanya tidak dapat dipisahkan. Begitu juga orang yang beriman kepada Allah, apabila diwajibkan satu-satu amalan padanya, maka dia terus melaksanakan perintah Allah. Cuba kita soroti gambaran akidah yang dibawa para sahabat pada zaman Rasulullah, apabila ayat Allah turun tentang pensyariatan solat turun mereka melaksanakannya tanpa soal, apabila ayat kewajipan memakai tudung turun dan di sampaikan kepada wanita-wanita Ansar, lantas sahaja mereka mengoyakkan kain-kain yang ada untuk dijadikan tudung tanpa ada yang bertanya boleh tak nampak leher sedikit?., mereka memakai mengikut acuan yang Allah telah tetapkan dalam Surah An-Nur, ayat 31. Di bulan ini juga kita hendak mengukur tahap keimanan dan kemantapn akidah kita tentang berpuasa.

Ikhwah akhwat yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang menyahut atau yang melaksanakan ibadah berpuasa juga mesti kenal dengan erti disebalik berpuasa, bukan sahaja menahan perut dari makan dan minum bahkan kita yakin ada hikmah kewajipan berpuasa ini kita mendidik jiwa kita menahan diri juga dari perkara-perkara yang cenderung kepada hawa nafsu semata sehingga melampaui batas.
Abu Sa’id al-Khudri berkata bahawa Nabi s.a..w. bersabda “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengetahui batas-batasnya, dan menjaga diri dari segala apa yang patut dijaga, dihapuskanlah dosa yang sebelumnya”(HR Ahmad dan Baihaqi dengan sanad yang baik). Abu Hurairah berkata, telah bersabda Rasulullah “Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya terdahulu”(HR Ahmad dan Ash-habus Sunan).
Daripada hadis-hadis di atas kita akan fahami, barangsiapa yang berpuasa dengan keimanan, mengharap redha Allah, dan menjaga batas-batas maka dosa-dosa akan dihapuskan oleh Allah Azza Wa Jalla. Marilah kita laksanakan tuntutan Allah untuk menjadikan dosa-dosa yang mengunung kita akan dihapuskan Allah dan akhir di bulan mulia ini kita menjadikan jiwa kita rasa takut pada Allah iaitu taqwa. Ulama’ sepakat mengatakan antara tujuan berpuasa juga adalah menghapuskan debu-debu dosa kita. Bulan mana lagi yang kita lari dari bisikan syaitan yang membataskan kita untuk beramal kepada Allah, maka bila lagi kita nak perbanyak amalan dengan khusyuk agar Allah menghapuskan dosa-dosa kita. Di sinilah menguji akidah kita, akidah yang salim pasti ingin bertemu dengan Allah dalam keadaan yang bersih dari kotoran dosa yang melekat padanya. Perasaan taqwa yang wujud dalam jiwa mereka juga menjadikan diri mereka pelihara diri dari melakukan perbuatan mungkar walau seinci pun kerana orang-orang yang beriman akan hari Akhirat yakin dengan ayat Allah yang berfirman “Dan barangsiapa yang mengerjakan perbuatan jahat seberat zarah, nescaya Dia akan melihatnya (balas)”[Az-Zilzal:8].
Sahabat sahabiah yang sentiasa berada dalam kasih sayang Allah, kita umat islam perlu menghargai sisa baki Ramadhan yang tinggal separuh lagi ini untuk perbanyak amal kita kepada Allah dengan hati nurani yang tulus ikhlas. Moga ramadhan kali ini benar-benar menusuk benak jiwa, memperteguh tali ikatan, mempercambah akal dan melahirkan kita apabila keluar dari Ramadhan kali imi umpama bayi yang baru lahir, akidahnya mantap, hatinya suci bersih dan kelak di tempatkan orang-orang yang soleh. Amin.

No comments: