30 March 2013

KENALI 4 ALASAN TIDAK UPDATE BLOG.

Awal pagi sebelum majlis pelancaran Arus Baru, pada 9 Mac 2013 yang lalu.


Adakah gambar di atas tiada kena mengena dengan tajuk blog? Anda kena ikuti tulisan ini sehingga habis.  Kenali lima alasan tidak mengemas kini blog? Bukanlah kerana saya sudah berlagak macam Internet Marketer (IM). Walaupun saya ada berkawan dengan beberapa IM yang mana melalui mereka ini saya sudah ada slot dalam KomikNiaga. Bukan sebab bayaran...namun untuk konsisten dengan satu projek berkala.

Lalu bagaimana saya melihat keadaan blog yang sudah lama tiada tulisan baru? Dengan melihat pada keadaan diri saya sendiri dan keadaan negara masa kini. Ingat, ini hasil dari muhasabah sendiri...bukannya dipetik dari mana-mana buku. Hasan al-Bana, pengasas Ikhwanul Muslimin tidak sempat menulis buku. Hanya risalah-risalah yang ditinggalkan buat kita semua. Dan koleksi risalah itu kemudiannya dikenal sebagai Majmu' Rasa'il.


1)  FACEBOOK

 Ini memang punca paling jujur kenapa saya jarang menjenguk blog. Banyak luahan dan perkongsian dibicara di laman sosial FB. Namun, sampailah masa saya dapat e-mel yang saya subscribe daripada pihak Majalah Niaga, bahawa perniagaan melalui blog masih menguntungkan jika tidak lebih lumayan daripada FACEBOOK. Saya pecahkan rahsia...Kos iklan untuk blog lebih murah daripada Facebook. 

Meskipun buat masa terdekat ini saya tidak menceburkan diri dalam pemasaran internet (belum lagi), saya lelah dengan FACEBOOK. Fokus saya banyak hilang, agenda saya pun entah ke mana. Dengan blog, saya boleh memfokus pada penulisan. Jadi, untuk diri sendiri dan pengunjung di luar sana, saya mehu letak KIV dua pos dalam masa sebulan. Insya-Allah, mungkin berkongsi petua bisnes dari rakan IM saya. 

2) WRITER'S BLOCK

Ini pun satu alasan. Mahu menulis tapi tiada idea penulisan. Untuk saya, dua kali ganda. Writer's block....dan art block. Saya pun kena benda alah ini juga. Writer's block... di blog ini kita tidak boleh menaip macam FACEBOOK. Di laman muka buku, anda boleh meluahkan perasaan hati anda, anda boleh gedik-gedik macam letak status "iewww, x cuyunk kitew" mahu pun letak muka itik. Di blog, hasilkan tulisan bermanfaat. Promosi barang pun tidak mengapa. Kemudian, saya teringat prinsip Rebecca Ilham..."Tulis sahaja"

Biar tangan kita lebih gatal-gatal untuk menulis...dan melukis. Namun kenapa guna cara tulis/lukis sahaja saya masih lambat menerbitkan hasil? Senang, pembaca mahu menikmati hasil, saya mahu menikmati proses.

Itu tanda saya benar-benar peduli dengan karya saya, lukisan mahu pun tulisan. Tapi ini saya khususkan pada lukisan komik. Namun saya sudah meletakkan tarikh luput kerja...Macam untuk KomikNiaga, saya akan tepati tarikh akhir hantar karya seboleh mungkin. Alhamdulillah...setakat ini tidak tersasar lagi. Cuma terbitan edisi ke-11 ini yang tersasar. Yang itu bukan salah saya. Juga tiada selera untuk salahkan penerbit. Mereka dah editor baru. Proses ambil alih ni bukannya mudah. Sudah dinamakan proses, mestilah mengambil masa. 

Ada waktu kita terlalu mengharapkan kesempurnaan.
Inilah yang menjadikan hasrat menulis/melukis tertahan-tahan. Maka sekarang saya lukis dengan berharap lebih kerap melukis, lebih cepat kualiti lukisan saya meningkat. Secara matematiknya, munasabah. Saya akan aplikasi pada blog ini pula. Dengan lukisan.

3) SIBUK

Alasan ini juga popular. Memang tiada penawar yang benar-benar berkesan pada alasan ini. Saya pun hairan, macam mana penulis Lydia Teh boleh hasilkan blog untuk bukunya. Dan apabila buku itu terbit, blog itu ditutup untuk mendorong orang membeli bukunya.

Buat pengetahuan, Lydia Teh adalah penulis buku pasal kehidupan rakyat Malaysia. Saya ada satu buku tulisannya: HONK! IF YOU'RE MALAYSIAN! Buku Bahasa Inggeris yang saya pernah beli secara rela hati. Mata penulis ini memang tajam ya? Boleh mengulas rutin orang Malaysia begitu sekali.

Yang ini, antara hendak tidak hendak sahaja. Mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih.  

4) TRAFIK

Trafik pengunjung pos yang tidak memberangsangkan juga penyebab pada tiada kemas kini blog. Bukan pada trafik pengunjung sebenarnya, tetapi pada pemilik blog itu sendiri. Saya yang membiarkannya berhabuk, tulisan tidak berkualiti, dan biasa-biasa sahaja kupasan isunya. Apa pun, saya sekarang menggemari tulisan pasal sejarah. Yang ini saya boleh faham kenapa masa sampai berbulan-bulan untuk menunggu artikel baru. Kerana sejarah bukannya topik yang mudah dihadam. Kita berbicara tentang asal usul kita sendiri. Di mana mula jejak kita. Maka, saya cadangkan tulisan berkenaan sejarah juga kena dikerapkan lagi. Barulah ada kelainan.

Jadi, apa yang menjadikan blog ini berlainan? Tidak banyak kelainan, hanya sedikit sahaja. Perbezaan melampau jangan sampai jadi terlalu aneh. Kontroversi sekali-sekala, itu sebagai tanda keberkesanan propaganda.

Jadi, ingat ini. Berkualiti dan kelainan. 

5)  KURANG PENGETAHUAN

Saya mengaku kurang berpengetahuan tentang blogging. Ini benar.  
Tanpa perlu berkias kata lagi, saya kena tambah pengetahuan. Anda juga para pembaca. Dan mencapai kefahaman. 


Akhir sekali, 
saya sekarang (bersama ahli ISMA yang lain) berusaha menyampaikan seruan ARUS BARU yakni memilih calon muslim yang berwibawa. Tidak sukar mahu fahami benda ini, kecuali puak yang ada kepentingan. Inilah mahu kontroversi sedikit. Kejutan perlu, teguran keras perlu selepas teguran secara baik tidak diterima oleh pihak yang ditegur. Nasihat kasar, tapi bukan menghina peribadi. Tiada ayat lucah di sini.

Jadi, buat soalan di atas, gambar itu untuk tunjuk sedikit aktiviti saya sejak bahang PRU mula terasa. Sekarang dah terasa.

 

No comments: