14 October 2010

LAGI PASAL FILEM MALAYSIA

Oleh Ku Seman Ku Hussain (Utusan Malaysia 7 Mac 2010)

Negara ini sudah mengangkat 10 sasterawan ke tahap tertinggi sebagai Sasterawan Negara. Mereka ternyata telah menghasilkan karya-karya sastera sama ada puisi, cerpen atau novel yang membawa pemikiran besar bangsanya.

Di mana karya-karya besar mereka tersimpan? Siapa pula yang memanfaatkan pemikiran-pemikiran tentang bangsa dalam karya-karya itu dalam kehidupan pada zaman yang serba moden ini? Kita boleh berbangga memiliki Sasterawan Negara Usman Awang misalnya yang banyak meniupkan kritikan sosial menerusi puisi-puisinya, begitu juga Sasterawan Negara A. Samad Said yang menghasilkan beberapa novel termasuk Hujan Pagi.

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengungkapkan kemanusiaan dan kemiskinan zaman kanak-kanak dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Begitu juga Sasterawan Negara ke-10 Anwar Ridhuan yang menghasilkan Naratif Oghonsoto. Semua ini karya-karya sastera yang besar dengan pemikiran hebat. Ini belum lagi sasterawan-sasterawan lain yang banyak menyumbangkan pemikiran dalam kesusasteraan.

Kehebatan kesusasteraan kita seharusnya menjadi alat untuk mengubah pemikiran kecil rakyat kepada pemikiran yang besar dan hebat. Sastera perlu dihidupkan oleh semua orang pada semua zaman dan semua keadaan. Bangsa-bangsa yang dianggap hebat dan besar di dunia bukanlah semata-mata kerana penguasaan teknologi. Mereka hebat kerana akar tradisi dan kesusasteraan sentiasa hidup dalam kehidupan seharian.

Kehebatan karya-karya sastera kelihatan tidak seimbang dengan rendah dan kecilnya pemikiran dalam arena perfileman tempatan. Dengan sekian banyak filem-filem buruk yang berlegar di pawagam ketika ini, adakah mereka tidak memanfaatkan pemikiran dalam kesusasteraan atau sememangnya sastera dan filem tidak boleh diselarikan? Maaf cakap, filem-filem kita secara umumnya sangat buruk.

Maksud buruk di sini kalau dibandingkan dengan sebahagian besar karya-karya yang dihasilkan dalam arena sastera. Terlalu jauh kalau hendak dibandingkan dengan karya Sasterawan Negara, tetapi karya penulis biasa pun tidak mampu ditanding oleh filem tempatan. Seharusnya kesusasteraan yang hebat menyumbang kepada karya filem yang juga hebat. Ini disebabkan pembikin filem tidak akan mengaku sebagai pembikin filem kalau tidak mengkhatami sekian banyak karya sastera bangsanya, sebelum melangkah sastera antarabangsa.

Berapa orang pengarah filem terutama yang membuat filem popular membaca karya Sasterawan Negara? Kalau mereka mengutip pemikiran besar dalam karya-karya sastera yang hebat, mereka tentu tidak tergamak menghasilkan filem-filem yang seburuk kita saksikan di pawagam. Kesusasteraan itu dalamnya sarat dengan pemikiran bangsa. Maka kalau kita menjauhkan diri dengan kesusasteraan, kita juga menjauhkan diri dengan jendela yang membawa kita mengenali bangsa sendiri. Akibat tidak kenal bangsa, jadilah seperti sekarang.

Mungkin ada kalangan pembikin filem kita yang belum tahu bahawa Stanley Kubrick mencipta imej-imej visual luar biasa dalam filem 2001-Space Oddysey kerana dia menyelami karya-karya fiksyen Arthur C. Clarke. Begitu juga dengan kelahiran filem fiksyen sains Star Wars oleh George Lucas. Karya-karya sains fiksyen Lucas banyak dipengaruhi oleh karya-karya sastera bercorak fiksyen sains yang dibacanya. Star Wars dan beberapa filem selepas itu memang dianggap filem berteknologi tinggi. Tetapi apalah maknanya teknologi kalau tidak dimanfaatkan secara betul. Sasteralah yang menjadikan Lucas begitu imaginatif, suatu yang semacam tidak berlaku kepada pembikin-pembikin filem kita.

Malah karya-karya fiksyen sains seperti yang dihasilkan oleh penulis seperti William Gibson banyak membentuk filem-filem fiksyen sains yang hebat. Teknologi tidak akan membawa filem kita ke mana-mana kalau daya imaginatif tidak berakar umbi daripada teras pemikiran bangsa. Teknologi boleh dibeli tetapi pemikiran sesuatu bangsa hanya ada dalam karya-karya sastera. Kalau ada pembikin filem menjaja teknologi tetapi tidak kenal sastera Melayu, pemikiran Melayu, karya filemnya hanya besar bagai belon. Kosong.

Pembikin filem kita sewajarnya jangan bodoh sombong menolak sastera atau tidak mendampingi sastera. Mereka perlu melihat bagaimana imaginasi novelis J.R.R. Tolkiens dalam novel klasik Lord of the Rings. Pengarah filem Lord of The Ring, Peter Jackson menjadikan novel itu sebagai inspirasi kemudian menzahirkan imaginasi kepada visual menerusi teknologi imej penjanaan komputer (CGI).

Negara-negara yang terkenal dengan kemajuan teknologi seperti Jepun, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah lainnya, di sebalik kemajuan mereka adalah memanfaatkan karya-karya seni dan sastera. Negara-negara ini kalau kita telusuri lebih jauh sebenarnya mempunyai akan tradisi dan kesusasteraan yang cukup kuat. Maka tidak hairanlah kalau pengkritik teori Marxist tersohor, Christopher Claudwell percaya seni dan sastera mempunyai pengaruh yang kuat terhadap ekonomi sekalipun bukan produk ekonomi.

Suatu yang nyata sekarang adalah dunia perfileman kita gagal mengangkat kekuatan imaginasi dan kreativiti karya sastera tempatan. Ini kerana kita mempunyai karya-karya sastera yang hebat tetapi pada masa yang sama kita juga menjadi pengeluar filem-filem "Melayu" yang buruk dan tidak menggambarkan pemikiran bangsanya.

Adakah semua ini berlaku menunjukkan kegiatan kesusasteraan tidak cukup digerakkan untuk sampai kepada pembikin- pembikin filem? Mereka tidak perlu mengadaptasi karya sastera tetapi berfikiran hebat macam sasterawan. Kalau ada inisiatif untuk mengadaptasi memang suatu yang sangat bagus seperti yang dilakukan oleh U-Wei Haji Saari menerusi filem Jogho dari novel Juara karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Kini U-Wei dalam pembikinan filem Hanyut adaptasi novel Almayer's Folly karya Joseph Conrad.

Lihatlah, ketika pembikin filem kita sibuk dengan filem-filem tentang mat rempit, pembikin-pembikin filem di Indonesia tidak terputus dengan ikatan pemikiran dalam kesusasteraan. Filem Ada Apa Dengan Cinta misalnya membawa kembali generasi baru mendekati sastera dan mengenali sasterawan besar Chairil Anwar. Pembikin filem Indonesia juga mengadaptasi novel Laskar Pelangi. Pembikin filem kita tidak habis-habis dengan "idealisme sempit" mat rempit mereka. Sepatutnya mereka perlu merasa malu sebelum dimalukan.

No comments: